Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Letak jawatan teguran, sedarkan kepimpinan PAS'

Perletakan jawatan kepimpinan PAS kawasan Batu sebagai "teguran dan menyedarkan" kepimpinan tertinggi parti itu supaya segera menyelesaikan masalah dalaman agar tidak berlarutan sehingga muktamar ke-61 Jun ini, kata Ishak Surin.

Beliau yang melepaskan jawatan yang dipertua PAS kawasan itu semalam, turut menggesa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Mohamad Sabu dan naib presiden berbincang pihak yang dianggapnya 'bertelagah' bagi menyelesaikan krisis dalaman parti.

"Jadi kalau tak ada satu tindakan yang menyedarkan semua, pihak kami bimbang parti nanti masalah, mungkin akan celaru, lemah tapi benda ini bergantung pada pucuk pimpinan.

"Tindakan kami nak sedarkan pucuk pimpinan bahawa kita perlu satu usaha bersungguh-sungguh supaya krisis tidak berlarutan.

"Saya mahu dia (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sebagai presiden memanggil (pihak yang) bertelagah duduk semeja. Kita bincang mana salah, mana silap, yang salah kita minta maaf.

"Kami tak mahu jawatan apa-apa dah. Kami cuma mahu PAS selamat macam dulu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Ishak mengulas kenyataan Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan MP Khalid Samad yang dilapor menyifatkan tindakan 17 pemimpin kawasan itu meletakkan jawatan dan 'mufarakah' kerana kecewa dengan Hadi sebagai "tindakan luar biasa" dan "janggal".

Sedangkan, kata kedua-dua pemimpin itu, PAS kawasan boleh itu boleh membincangkan segala masalah melalui mesyarat agung kawasan itu.

Mengulas lanjut, Ishak berkata pihaknya telahpun berbincang dan sedar mengenai kesan yang bakal dihadapi ekoran tindakan mereka  yang tidak bersetuju atau mengikut presiden.

Terkilan dengan sikap Hadi yang mendiamkan diri berkaitan kemelut dalaman parti, Ishak berkata pemimpin PAS antaranya Mohamad dan Tuan Ibrahim boleh memainkan peranan menyelesaikannya dengan memanggil pihak yang terlibat.

"Macam Tuan Ibrahim Tuan Man, dia ada tanggungjawab. Sepatutnya orang nombor dua dan tiga dalam parti (panggil mereka). Patutnya Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai ulama, dia patut bertindak. Jumpa, tanya apa masalah dalaman. Ini bendanya.

"Siapa yang rasa tak kena, kita panggil. Itu kan sebaik-baiknya. Tak kan nak biarkan orang bawah dalam PAS termangu. Kan sudah rugi tu," kata Ishak yang menegaskan tidak memusihi Hadi.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan insiden yang berlaku terhadap Mohamad dan Ketua Biro Lajnah Undang-undang, Hanipa Maidin yang diejek pada muktamar di Johor berulang kembali, malah berlaku lebih teruk dalam muktamar di Kuala Selangor kelak.

"Itu sangat mengaibkan kita, rakyat nanti lihat kita bukan sebagai parti Islam. Secara peribadi, kalau tak selesai tangguh lah muktamar ni.

"(Apa yang) perlu (dilakukan) sekarang ini, sebelum mukamar selesaikan kemelut yang ada," kata Ishak sambil menepis dakwaan bahawa tindakan mereka itu dibuat disebabkan "tiada perpaduan".

Lihat Komen
ADS