Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kesemua ADUN Umno Kelantan menyokong pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 yang dibentangkan hari ini bagi membolehkan pelaksanaan hukuman hudud di negeri itu.

Memulakan perbahasan Rang Undang-undang itu dengan nada sebak, ADUN Kok Lanas Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata Umno negeri itu akan bersama-sama kerajaan negeri "menghadapi segala rintangan" bagi melaksanakan hukuman hudud.

Beliau yang juga ketua penerangan Umno Kelantan itu berkata, sokongan supaya hukuman jenayah Islam itu dilaksanakan juga adalah kerana Allah.

"Saya sokong hudud ini kerana Allah. Umno sokong juga kerana Allah, bukan kerana politik. Kita akan hadapi masalah yang sama. Mereka datang dari pelbagai kumpulan untuk halang apa yang kita buat.

"Saya bimbang kerajaan negeri terpaksa menghadapi banyak perkara. Maka, marilah kita bersama-sama bersahabat menghadapi rintangan ini," kata Md Alwi yang berucap kira-kira setengah jam bermula 12.30 pm.

Umno mempunyai 12 orang ADUN di Kelantan..

Selepas menyampaikan perbahasan, Speaker DUN, Datuk Abdullah Ya'kub berkata, beliau berharap agar Md Alwi berucap daripada hati.

"Terima kasih kepada Yang Berhormat di atas ucapan yang dilahir daripada hati," kata Abdullah.

Mahu Umno zahir sokongan

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah meminta supaya semua ADUN Umno menzahirkan sokongan mereka esok semasa pengundian bagi meluluskan rang undang-undang hudud itu.

Mohd Amar yang juga pengerusi teknikal Jawatankuasa Kanun Jenayah Syariah II itu berkata lagi, apa yang paling penting ialah memastikan enakmen itu diluluskan untuk dibawa ke Parlimen.

"Cakap sahaja (sokong) tak guna. Kita tengok esok. Sokongan mulut OK. Tapi dalam dewan ini, bila mengundi baru bermakna.

"Esok kita akan buka untuk undian, masa itu yang akan menentukan," katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang DUN di Kompleks Kota Darulnaim.

Mengulas ketidakhadiran ADUN Salor Datuk Husam Musa dan ADUN PKR Mohd Roslan Puteh hari ini, Mohd Amar berkata perkara itu tidak menjadi masalah memandangkan esok merupakan hari penentuan bagi rang undang-undang itu.

"Tak apalah tak datang (hari ini), kita nak mengundi esok. Apa masalahnya? Sebab esok kita nak mengundi, kalau dia tak datang pun tak apa. Tunggu esok sahajalah," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS