Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hukuman 13 penyokong PAS dikurangkan
Diterbitkan:  Mar 18, 2015 5:31 PM
Dikemaskini: 12:55 PM

Hukuman penjara terhadap 13 penyokong PAS yang disabitkan kesalahan menyertai perhimpunan haram pada 2009 bagi menghalang upacara angkat sumpah jawatan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, dikurangkan kepada 10 bulan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Wira Mohtarudin Baki, yang mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen mendapati mereka bersalah terhadap pertuduhan itu, mengurangkan hukuman penjara dua tahun yang diputuskan oleh mahkamah itu kepada 10 bulan.

Panel itu yang turut dianggotai Hakim Datuk Ahmadi Asnawi dan Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli bagaimanapun mengekalkan denda RM5,000 yang diputuskan Mahkamah Sesyen terhadap setiap daripada mereka.

Penyokong PAS itu ialah Bad Latif Mansor, 49, Suhana Abdullah, 50, Meor Safizal Meor Mohamed Amin, 40, Mohd Faiz Mohd Arshad, 28, Zulhaizam Zulkifli, 31, Isha Riduan Ishak, 60, Adi Hilme Mohd Nasir, 45, Yusuf Jaafar, 50, Mohamad Nazeer Hameed, 49, Idris Mohd Thaib 49, Khairul Azmi Hassan Basri, 50, Mohd Hasri Ismail, 49, and Mohamed Ismail S. M. Abdul Kadir, 49.

Abdul Rahman semasa menyampaikan keputusan itu berkata perhimpunan itu, yang disertai 12 tertuduh, adalah haram kerana ia bertujuan untuk menghalang proses perundangan upacara angkat sumpah jawatan dan pelantikan Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak.

Katanya mahkamah berpandangan bahawa oleh kerana perhimpunan itu adalah haram, polis diberi kuasa untuk menggunakan kekerasan bagi menyuraikan orang ramai sekiranya arahan untuk bersurai tidak diendahkan.

Beliau berkata walaupun menyertai perhimpunan aman dibenarkan oleh Perkara  10 (b) Perlembagaan Persekutuan, ia bukan hak mutlak.

Abdul Rahman berkata perhimpunan yang mengganggu ketenteraman awam bukan perhimpunan aman dan mereka yang menyertainya tidak boleh menggunakan Perkara 10 (b) untuk melindungi diri mereka.

Berhubung hukuman penjara, beliau berkata penjara dua tahun diputuskan Mahkamah Sesyen agak berat dan mahkamah berpandangan tempoh hukuman penjara yang sesuai adalah 10 bulan.

Abdul Rahman memerintah mereka menjalani hukuman penjara itu mulai hari ini.

Panel itu juga sebulat suara menolak rayuan 10 daripada mereka terhadap sabitan mengambil bahagian dalam perhimpunan haram untuk menghalang upacara angkat sumpah jawatan menteri besar pada 3.30 petang, 6 Februari 2009.

Pada masa sama, mahkamah membenarkan rayuan balas pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan dua daripada 12 individu berkenaan - Meor Safizal dan Yusuf daripada pertuduhan itu.

Kesemua 12 penyokong PAS itu, masing-masing dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Kangsar, Perak pada 13 September 2013 selepas mereka didapati bersalah terhadap pertuduhan itu.

Mereka kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Taiping yang pada 26 Jun, 2014 mengekalkan sabitan 10 daripada mereka dan membebaskan Meor Safizal dan Yusuf.

Mahkamah Tinggi juga mengetepikan hukuman penjara dua tahun diputuskan terhadap 10 daripada mereka dan mengekalkan hukuman denda RM5,000.

Peguam Salim Bashir mewakili Mohamad Nazeer manakala 11 yang lain diwakili peguam Aminudeen Zulkipli. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Fairuz

Johari.

- Bernama

Lihat Komen
ADS