Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PAS Kelantan mempersoalkan kenapa DAP terus berkeras untuk menghalang usaha mereka melaksanakan hudud di Kelantan sedangkan perkara itu tidak melibatkan golongan bukan Islam.

Malah, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, usaha itu dijalankan berdasarkan kerangka undang-undang dan demokrasi, melalui Parlimen.

Mohd Amar juga berkata telah membangkitkan perkara itu kepada Lim Kit Siang sendiri berhubung perkara itu dalam pertemuannya dengan pemimpin popular DAP itu di pejabat PAS di ibu negara sebelum ini.

“Kemudian, Lim Kit Siang senyap tak boleh cakap apa. Dia terus diam. Dia tak jawab yang saya hujah.

“Jadi sebab itu saya tak faham kenapa berkeras lagi, kecuali dia ada suatu agenda tersembunyi, kita tak tahu,” katanya.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini baru-baru ini, Mohd Amar mengulas pelbagai perkara melibatkan usaha mereka, termasuk kemungkinan usaha itu tersangkut di peringkat Parlimen, serta tanggapan awam berkaitan hudud.

Malaysiakini: Bagaimana nak dapatkan sokongan dua pertiga di Parlimen untuk luluskan Rang Undang-undang Persendirian?

Mohd Amar: Kita dah bincang dengan pakar perundangan, dua-dua ini (Akta 355 dan Perkara 76A(1)) tak perlu dua pertiga kerana kita tak pinda Perlembagaan. Hanya pinda akta, hanya perlu majoriti mudah. Dan Perkara 76A (1) itu bukan pinda tetapi hanya minta kebenaran Parlimen untuk beri kuasa pada DUN gubal peraturan yang bawah bidang kuasa Persekutuan.

Kalau ditolak di Parlimen, apa tindakan seterusnya?

Kalau Parlimen tolak, kita berhentilah. Kita cukup di situ. Kita cari jalan lain pula setakat yang kita boleh buat. Ada dua, tiga pilihan tetapi ini bukan masa yang sesuai untuk terangkan. Sebab kita ada pendapat undang-undang dalam isu ini, dan kita mahu guna cara perlembagaan.

Orang bukan Islam tidak akan terlibat dengan enakmen hudud ini?

Kita dah beritahu sangat jelas. Dulu mungkin ada keraguan sebab kita bagi pilihan (kepada orang bukan Islam). Jadi kita fikir semua pandangan-pandangan, sebab itu (enakmen) yang baru ini kita buang terus (orang bukan Islam). Orang bukan Islam langsung tidak dibicarakan bawah Undang-undang Islam walaupun mereka mahu. Jadi, apa lagi yang hendak dibimbangkan?

Dan saya pun dah sebut dengan (pemimpin DAP) Lim Kit Siang masa kali terakhir berjumpa di pejabat PAS. Lim Kit Siang, (Presiden PKR) Wan Azizah (Ismail) semua ada pada masa itu.

Saya tanya dia (Lim), kawan-kawan kita dalam DAP ini: "You kata you tolak hudud kerana bercanggah dengan perlembagaan dan sekarang PAS ikut prosedur, kita bawa masuk dalam Dewan (DUN), ikut undang-undang.

“Dan dilulus dalam Dewan, kemudian kita bawa ke Parlimen untuk dibentangkan di Parlimen. Jadi ini semua proses demokrasi dan proses Perlembagaan. Jadi apa masalah sebenarnya?

“Kenapa you nak halang? Kalau betul-betul cakap tentang demokrasi, you kena bagi kita lalu. Lepas itu, biar (Dewan) tentukan kita kalah di Parlimen. You nak bahas pun tak apa, you nak reject (tolak) pun tak apa sebab itu hak anda. Tapi jangan hentikan kita di tengah jalan dan jangan halang kita. “

Kemudian, Lim Kit Siang senyap tak boleh cakap apa. Dia terus diam. Dia tak jawab yang saya hujah. Jadi sebab itu saya tak faham kenapa berkeras lagi, kecuali dia ada suatu agenda tersembunyi, kita tak tahu.

Apa dalam hati dia, atau ada agenda tersembunyi kita tak tahu. Apa motif dia kita tak tahu.

Terdapat kesilapan bahasa dalam dokumen enakmen hudud. Dan dari situ orang mengatakan "benda macam ini pun boleh silap, macam mana nak laksanakan hudud"?

Di Parlimen lagi teruk kesilapan (bahasa) saya duduk dalam Parlimen dua penggal. Parlimen lagi teruk silap. Saya tahu itu. Tapi kita tak bising sebab benda itu teknikal.

Macam hudud, ini memang kita akui hukumannya berat. Tetapi untuk hakim nak jatuhkan hukuman itu, syaratnya terlalu ketat. Jadi kita tengok dari sudut itu.

Bukan senang-senang kita nak potong tangan orang. Ada sikit sahaja keraguan, buang kes. Itu cara islam.

Macam undang-undang sivil dipanggil melampaui keraguan yang munasabah, dalam undang-undang Islam dipanggil kepastian yang mutlak. Jadi benda itu kalau kita faham, kita yang belajar Islam ini, tak pelik.

Zaman Nabi dulu, berapa orang sahaja yang dipotong tangan, berapa orang sahaja direjam. Sepuluh tahun Nabi duduk di Madinah, yang potong tangan hanya dua kes yang kes zina, dalam dua atau tiga kes. Itu pun orang ini mengaku. Bukan ada saksi.

Undang-undang ini sukar nak dilaksanakan (untuk dapatkan empat orang saksi). Tujuannya, dalam Islam supaya kejahatan itu tidak dilakukan secara terbuka.

Sebab kalau empat orang boleh tengok kejadian (zina) itu secara terbuka sampai habis, maknanya masyarakat kita sudah teruk. Maka hukuman rejam paling sesuai untuk orang macam ini. Sebab itu dalam Islam kita tak boleh nak cari (kesalahan).

Contohnya, Saidina Umar Al-Khattab nak pergi solat pada waktu Subuh, dia nampak orang berzina di tepi jalan, dia kebetulan lalu. Dan keadaan itu gelap. Dia terserempak tapi Saidina Umar buat tak tahu sahaja sebab dia seorang sahaja.

Dia seorang tak boleh jadi saksi. Bukan mudah. Kalau dia tangkap dia tak ada bukti sebab dia seorang dan dalam gelap. Kalau waktu subuh ni, kadang-kadang kita nak cari selipar kita pun tak jumpa cari.

Maknanya bukan senang. Tujuannya kita tak mahu jadi macam di barat, orang boleh buat zina di tempat awam. Kalau benda ini (hudud) tak ada, mungkin akan berlaku.

Dalam taman, tepi jalan, orang jadi macam binatang tak reti malu. Jadi ini sebenarnya tujuannya pun. Benda ini sebagai pencegahan. Tapi orang tak tengok benda itu.

Malaysiakini: Kenapa lesbian, seks dengan mayat dan binatang diletakkan bawah hukuman liwat?

Mohd Amar: Itu silap. Silap saya. Sebenarnya yang liwat itu hanya untuk dalam kes liwat. Lesbian, setubuh dengan binatang, mayat akan masuk dalam kategori takzir, iaitu kita akan pinda Enakmen Kanun Jenayah Kelantan 1985.

Bukan dalam kategori liwat dan hudud. Itu silap saya terangkan tempoh hari kerana bila semak balik saya silap. Sebenarnya di bawah takzir yang kita akan pinda dan masukkan dalam Kanun Jenayah Syariah 1985 iaitu, insya-Allah akan dibuat dalam sidang DUN akan datang.

Sidang DUN akan datang akan bincang secara terperinci tentang Enakmen Kanun Jenayah Kelantan 1985 dan khusus kesalahan bawah takzir sahaja.

Kalau kesalahan takzir hukumannya terserah pada hakim. Tidak ditetapkan kerana kadang-kadang kesalahan takzir itu hukumannya lebih berat daripada hudud bagi sesetengah kes.

Hukuman lesbian dan liwat lain kerana lain kaedahnya. Dari segi sains pun lain. Macam kes suami meliwat isteri ada khilaf dan dipanggil istilah syubhah.

Bila ada pandangan berbeza, hudud tak boleh buat. Suami meliwat isteri salah juga tetapi bukan bawah kesalahan hudud tapi kesalahan takzir. Bukan nak kata mereka terlepas. Tidak. Tapi di bawah kesalahan takzir mungkin lagi berat kerana mahkamah yang buat keputusan.

Boleh jadi hukuman seks dengan binatang, mayat pun lebih berat, ia atas mahkamah. Mahkamah akan tengok kes itu macam mana. Jadi seks luar tabii tidak masuk dalam kesalahan hudud dan masuk dalam kesalahan takzir.

Tetapi ada juga yang mempertikaikan kenapa orang yang lakukan rasuah tidak dikenakan apa-apa hukuman?

Rasuah itu kena jelaskan. Kalau undang-undang mengatakan rasuah itu sebahagian daripada mencuri, jadi kita potong tangan juga. Tapi apa yang ada dalam dunia sekarang lain, mencuri lain dan pecah amanah lain. Malah mencuri juga hukumannya berbeza. Dalam undang-undang sivil pun kita ada kategori yang berbeza, jadi apa salahnya dengan yang ini (hudud).

Masalah dengan potong tangan ini, kalau doktor potong tangan tak ada orang kata doktor jahat sebab doktor potong tangan, kaki nak selamatkan nyawa orang itu. Tapi Islam, nak potong tangan pencuri untuk menyelamatkan nyawa masyarakat. Jadi tujuan Islam lebih baik dari perubatan.

Perubatan hanya nak selamatkan seorang individu tetapi Islam nak selamatkan seluruh masyarakat. Kita kena tengok macam itu. Kalau dalam kampung, orang itu akan fikir banyak kali (untuk mencuri). Kalau nak mencuri, kena potong tangan, dengan sendiri orang ramai akan selamat.

Tengok hari ini, berapa ramai perempuan mati diragut, ditarik sehingga pecah kepala dan mati macam itu sahaja. Orang yang meragut dikenakan penjara empat, lima hari atau seminggu. Bunuh orang dipenjara untuk 20 tahun.

Perspektif itu penting, cara kita tengok (pelaksanaan hukuman hudud). Sebab kalau doktor potong tangan sebab kencing manis, orang tak kata doktor jahat. Sebab tujuan doktor itu untuk menyelamatkan pesakit.

Bahagian 1: 'Bukan Islam OK hudud, DAP saja yang bising'

Lihat Komen
ADS