Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hudud: Umno K'tan tempelak Lim Guan Eng
Diterbitkan:  Mar 25, 2015 12:14 PM
Dikemaskini: 4:37 AM

Umno Kelantan menempelak Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam yang menuduh parti itu menghasut PAS berhubung isu perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah di Kelantan.

Ketua Penerangannya Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, tuduhan ketua menteri Pulau Pinang itu tidak berasas dan sengaja mengalih pandangan masyarakat selepas mereka memutuskan hubungan dengan PAS, lapor Utusan Malaysia hari ini.

Laporan itu juga menyebut beliau mengulangi penegasan bahawa sokongan mereka terhadap rang undang-undang hudud itu kerana Allah.

"Hukum hudud adalah undang-undang Allah dan sebagai umat Islam mesti menyokongnya, tidak timbul soal Umno menghasut PAS kerana parti itu sendiri sejak sekian lama telah memperjuangkan hudud.

"Saya juga tidak faham, dia (DAP) gaduh dengan PAS tetapi salahkan Umno. Bagaimana sekiranya Umno kata DAP hasut MCA dan Gerakan menyokong mereka menentang hudud?

"Semua ada pendirian masing-masing, jangan tuduh orang lain,” katanya seperti dilapor akhbar itu.

DAP memutuskan hubungan dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana tidak lagi dapat bekerjasama dengan presiden PAS yang disifatkan "tidak jujur dan tidak bermaruah".

Malah, Lim turut menuduh Umno menghasut PAS supaya melaksanankan hukum hudud di Kelantan.

Laporan itu juga menyebut, Md Alwi terkejut dengan kenyataan Lim Guan Eng itu yang disifatkannya sebagai satu penghinaan terhadap Hadi yang dianggap seorang pemimpin dan ulama.

"Abdul Hadi dituduh tidak bermaruah, perkataan ini adakah sesuai digunakan kepada seorang ulama yang dihormati? Tidak ada maruah apa, Abdul Hadi mempertahankan Islam," katanya dipetik.

Lihat Komen
ADS