Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Polis Negeri Sembilan menukar strategi, menggunakan anggota polis wanitanya menyamar sebagai orang awam bagi menangani jenayah ragut di bandar ini.

Timbalan ketua polis negeri SAC Datuk Hamzah Md Jamil berkata anggota polis wanita itu menyamar sebagai orang awam dengan memakai barangan kemas dan membawa beg tangan.

"Mereka ini ditempatkan dua minggu lepas di tempat tumpuan awam seperti di pasar raya, terminal bas, bank dan sebagainya. Anggota polis wanita ini digunakan sebagai 'umpan' untuk menangkap penjenayah kes ragut.

"Kami mengenal pasti 28 anggota polis wanita ini, yang telah dilatih menghadapi situasi apabila diragut. Jadi, saya beri amaran kepada penjenayah agar jangan sebarang ragut," katanya kepada pemberita selepas perbarisan Hari Polis ke-208 Kontinjen Negeri Sembilan di Seremban hari ini.

Mengikut rekod terdapat lapan kes jenayah ragut berlaku sepanjang bulan ini di sekitar Seremban dan Nilai.

Katanya, orang ramai tidak perlu bimbang, walaupun tidak kelihatan anggota polis berpakaian uniform di tempat tumpuan orang ramai, tetapi terdapat anggota polis yang berpakaian orang awam.

Katanya, jenayah ragut tidak mengenal usia dan tiada belas ihsan walaupun yang menjadi mangsa adalah warga emas terutama golongan wanita.

"Perubahan masa menyaksikan ragut sebagai satu jenayah serius yang sejak akhir-akhir ini turut meragut nyawa manusia. Fenomena ini membawa satu lagi amaran kepada wanita supaya lebih berhati-hati dalam kehidupan seharian mereka terutama ketika berada di tempat awam.

"Pihak polis memandang serius jenayah ragut kerana ia menimbulkan keadaan traumatik kepada mangsa. Ini kerana jenayah ragut bukan sahaja boleh menyebabkan kecederaan, malah kematian kepada mangsa," katanya.

Pada majlis itu, 19 pegawai polis, 27 anggota pangkat rendah dan 16 kakitangan awam menerima surat penghargaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS