Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kematian ke-6 dalam 3 bulan, polis mesti jawab'
Diterbitkan:  Mar 26, 2015 2:53 PM
Dikemaskini: 6:59 AM

Kematian banduan Mohd Zafari Mohd Yunus dalam lokap adalah yang keenam dalam tempoh hanya tiga bulan dalam tahun 2015 dan Suaram menggesa pihak polis mendedahkan hasil bedah siasat awal.

"Kebiasaannya, apabila berlaku kes kematian dalam tahanan, pihak polis akan mengeluarkan kenyataan berkaitan hasil siasatan awal kes dan menyatakan bedah siasat akan dijalankan.

"Bagaimanapun, pihak polis tidak mengeluarkan kenyataan berkaitan hasil bedah siasat yang dilakukan kepada setiap mangsa kematian dalam tahanan.

 

 "Adalah sangat baik sekiranya pihak polis memaklumkan kepada orang awam berkaitan hasil siasatan terkini berkaitan kematian dalam tahanan, khususnya keputusan laporan bedah siasat.

"Ini demi mengelakkan daripada berlakunya penipuan dan kekaburan maklumat," kata badan hak asasi manusia itu dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pada 12 Mac 2015, Mohd Zafari telah disabitkan atas tuduhan melakukan rompakan pada tahun 2013.

 

Dia kemudiannya telah dibawa ke pusat tahanan Ipoh selepas dijatuhi hukuman pada hari itu, iaitu lapan tahun penjara dan tiga sebatan rotan.

Pada hari yang sama semasa dalam tahanan, mangsa dikatakan telah jatuh semasa ke tandas dan mengalami kecederaan di bahagian belakang kepalanya, dan telah dibawa ke hospital.

 

Mohd Zafari meninggal dunia pada jam 1.25 pagi keesokan harinya di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

 

Suaram berkata keluarga si mati telah dilaporkan membuat laporan polis dan meminta untuk melihat rakaman CCTV yang polis mengakui ada.

 

NGO itu berkata pihak keluarga mempunyai hak untuk melihat rakaman CCTV itu, dan berharap pihak polis akan menggunakan rakaman itu sebagai sebahagian keterangan dalam siasatan.

 

"Suaram menggesa agar pihak polis berlaku telus dalam setiap kes kematian dalam tahanan yang berlaku.

"Tindakan pihak polis tidak bercakap benar atau memberikan maklumat yang sahih adalah sesuatu yang tidak berintegriti dan tidak bertanggungjawab," kata NGO itu.

Sebagai contohnya, kata Suaram, ialah apabila polis mendakwa berlaku "kematian secara tiba-tiba" dalam kes Syed Mohd Azlan, tetapi dalam sijil kematian yang dikeluarkan pihak Hospital Sultan Ismail, tertulis dia mati disebabkan hentakan benda tumpul di dada.

[Baca berita penuh/asal]

Lihat Komen
ADS