Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tulang berselerak di ladang kelapa sawit
Diterbitkan:  Mar 27, 2015 7:00 PM
Dikemaskini: 12:46 PM

Sejumlah tulang dan dua tengkorak manusia ditemui dalam sebuah ladang kelapa sawit, kira-kira 70 meter dari jalan besar Jalan Ara Kuda-Padang Menora dekat Kepala Batas hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata rangka itu ditemui oleh pekerja ladang yang sedang bekerja di ladang itu pada pukul 2 petang.

"Pemeriksaan polis dan pasukan forensik mendapati tulang-tulang yang dalam keadaan berselerak dan tidak sempurna itu adalah rangka manusia berdasarkan dua tengkorak yang ditemui.

"Polis turut menemui kain pelikat corak petak-petak berwarna biru yang dipercayai digunakan untuk membungkus mayat berkenaan dan ia ditutup dengan daun kelapa sawit yang telah kering," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata berdasarkan keadaan rangka itu, polis tidak menolak kemungkinan dua mayat berkenaan ditinggalkan di situ dalam tempoh antara dua atau tiga bulan.

Kesemua rangka itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk pemeriksaan lanjut dan polis meminta kerjasama orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau rakan atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi balai polis berhampiran.

- Bernama

Lihat Komen
ADS