Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Orang Asli berisiko diserang sakit jantung'
Diterbitkan:  Mar 27, 2015 8:46 PM
Dikemaskini: 12:49 PM

Masyarakat Orang Asli kini berdepan dengan risiko lebih tinggi untuk diserang penyakit jantung dan strok akibat perubahan gaya hidup dan pemakanan, demikian menurut kajian Institut Diabetes Kebangsaan (NADI).

Pengerusi Eksekutif (Kehormat) NADI, Prof Emeritius Datuk Dr Mustaffa Embong berkata kajian itu dilakukan terhadap hampir 2,000 penduduk Orang Asli di Selangor, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan Kelantan antara 2011 dan 2014.

Mereka terdiri daripada individu berusia antara 11 dan 92 tahun di 15 penempatan Orang Asli, katanya pada sidang media di ibunegara hari ini.

Beliau berkata kajian itu antara lain mendedahkan bahawa masyarakat Orang Asli mengalami perubahan budaya, termasuk dari segi pola pemakanan, terutama dalam kalangan mereka yang tinggal di kawasan membangun atau penempatan Felda, yang mula menggemari makanan segera berbanding makanan tradisional.

"Satu perkara yang lebih membimbangkan ialah semakin banyak Orang Asli mengalami paras kolestoral tinggi (37.2 peratus) dan obesiti (21.7 peratus), berbanding penduduk umum," katanya.

Dr Mustaffa berkata kajian itu juga menunjukkan semakin banyak anggota masyarakat Orang Asli menghidap pradiabetes, paras kolestoral tinggi dan obesiti, yang menjadikan mereka berisko tinggi mendapat penyakit kardiovaskular dan diabetes.

Bagaimanapun, menurut Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2011, kadar diabetes dan darah tinggi dalam kalangan masyarakat Orang Asli adalah lebih rendah daripada purata kebangsaan, masing-masing pada kadar 2.8 peratus dan 12.8 peratus, berbanding 15.2 peratus dan 32.7 peratus bagi penduduk umum, katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS