Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mendakwa rang undang-undang (RUU) ahli persendirian yang akan dibentangkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen, akan menghadkan hukuman hudud di Kelantan kepada sebatan.

 

Katanya, jenayah yang boleh dihukum di bawah cadangan enakmen jenayah syariah Kelantan itu ialah zina, minum arak, dan 'qazaf' (menuduh seseorang melakukan zina).

 

Husam berkata, RUU itu akan menghadkan kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Kelantan.

"Tidak semua dalam enakmen itu dapat dilaksanakan apabila Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) dipinda (di Parlimen).

 

"(Oleh itu) hukuman (bagi tiga jenayah itu) hanya sebat. Tidak ada potong tangan dan sebagainya," kata Husam kepada wartawan di satu forum awam di Shah Alam malam tadi.

 

Menurutnya lagi, RUU itu tidak akan memasukkan hukuman bagi jenayah yang telah disenaraikan di bawah Kanun Keseksaan, seperti liwat dan mencuri.

 

"(Hukuman hudud yang lain) kekal dalam enakmen itu, tetapi kita tidak boleh melaksanakannya," katanya, merujuk kepada hukuman rejam dengan batu, potong tangan dan kaki.

                                                           

Hubungan antara DAP dan PAS - dua sekutu dalam pembangkang Pakatan Rakyat - terjejas teruk selepas Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan pindaan kepada Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993 Khamis lepas.

 

Untuk Kelantan melaksanakan hudud di negeri ini, PAS perlu meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) di Parlimen di mana Hadi merancang melakukannya melalui pembentangan RUU ahli persendirian.

 

DAP telah memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi, manakala cawangan parti itu di Sarawak bertindak keluar dari Pakatan.

"Ramai tidak faham mengenai cadangan yang terkandung dalam RUU ahli persendirian presiden PAS ini ... ramai orang tidak melihatnya," kata Husam lagi

 

"Saya yakin apabila satu penjelasan telah diberikan, mereka yang bimbang (mengenai hudud) tidak akan bimbang lagi," katanya.

 

Husam bagaimanapun mengakui bahawa pemimpin PAS tidak mendapat taklimat mengenai RUU ahli persendirian presiden mereka itu.

 

Beliau hanya mengetahui mengenai butiran RUU itu apabila bertemu dengan Abdul Hadi selepas solat Jumaat semalam.

 

Sementara itu, Husam menggesa Perdana Menteri Datu Seri Najib Abdul Razak menyatakan pendirian beliau mengenai hudud tidak lama lagi.

[Baca berita penuh/asal]

Lihat Komen
ADS