Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali hari ini enggan menyatakan pendirian parti itu berhubung tindakan DAP Sarawak menarik diri daripada kerjasama politik Pakatan Rakyat.

Beliau setakat menyatakan pihaknya sentiasa mengadakan perbincangan bagi sebarang isu berkaitan kerjasama Pakatan dengan DAP dan PAS.

Beliau cuba mengelak dari menyentuh isu berkenaan dengan mengatakan perkara tersebut boleh dibincangkan dalam forum yang lain.

"Tak apalah, kita bincang (mengenai tindakan DAP Sarawak keluar PR) dalam forum yang lain. Semuanya berada dalam keadaan baik.

"Saya sedia maklum dengan tindakan itu dan semua masalah boleh diselesaikan dengan keadaan yang sama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah projek perumahan mampu milik di Bandar Parklands di Klang.

Mohamed Azmin berkata, beliau tetap akan meneruskan kerjasama dengan DAP dan PAS seperti sebelumnya.

Menurutnya, ketiga-tiga parti dalam pakatan itu mempunyai kebijaksanaan tersendiri untuk menyelesaikan isu tersebut.

DAP Sarawak mengumumkan keputusan keluar daripada kerjasama Pakatan semalam kerana kecewa dengan tindakan PAS yang mahu melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Pengumuman yang dibuat Pengerusi DAP negeri, Chong Chieng Jen, itu dikatakan mendapat persetujuan sebulat suara kepimpinan DAP negeri.

Mereka mendakwa PAS telah menyeleweng daripada dasar bersama Pakatan apabila mahu melaksanakan undang-undang berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin, yang juga menteri besar Selangor, menegaskan perjanjian penstrukturan industri air Selangor hanya akan dimuktamadkan pihaknya sekiranya kerajaan persekutuan berpegang pada syarat asal.

Menurut beliau, pihaknya dijangka mengadakan pertemuan seterusnya dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili minggu depan bagi mengadakan perbincangan lanjut mengenainya.

"Kerajaan negeri akan meneruskan rundingan tersebut kerana Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan persekutuan yang diwakili Ketua Setiausaha Kettha Datuk Loo Took Gee, Isnin lepas," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS