Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sekretariat: Lagi ditekan, lagi kita lawan
Diterbitkan:  Mar 29, 2015 1:12 PM
Dikemaskini: 5:19 AM

Sekretariat Kita Lawan berikrar akan terus mendesak kerajaan agar memenuhi tiga tuntutan utama ataupun berdepan tekanan mereka yang lebih hebat khususnya pada sambutan Hari Buruh pada 1 Mei depan.

Sekalipun berdepan pelbagai tindakan termasuk penangkapan beberapa pemimpin dan aktivis sebelum dan selepas perhimpunan semalam, kumpulan itu menganggap protes ke KLCC itu berjaya dan menyifatkan mereka yang ditahan itu sebagai "simbol keberanian" melawan kezaliman.

"Walaupun anak muda terus ditekan, rencana #KitaLawan akan terus diperhebatkan. Selagi Anwar Ibrahim tidak dibebaskan, selagi Najib Razak tidak berundur, selagi (Ketua Polis Negara) Khalid Abu Bakar tidak dipecat dan selagi kerakusan GST tidak dihentikan, kami anak muda akan terus lawan.

"Kami percaya kebangkitan anak muda ini mendapat dokongan dan sokongan rakyat Malaysia. KitaLawan akan terus bina kekuatan dan kami akan terus merencanakan isu-isu rakyat.

"Maka, Sekretariat menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk bersiap sedia turun beramai-ramai ke Kuala Lumpur pada Himpunan #KitaLawan 1 Mei 2015," kata sekretariat itu.

Semalam seramai 500 peserta Kita Lawan berarak dari Sogo ke KLCC antara lain menuntut pembebaskan Anwar dan mahu meraikan perkahwinan anak perempuan Najib di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Tetapi pergerakan mereka dihalang oleh sejumlah anggota polis.

Dalam kenyataanya hari ini, sekretariat itu berkata penahanan dan tangkapan tersebut tidak menghalang mereka mengadakan perhimpunan aman termasuk berarak ke KLCC sehingga pergerakan mereka untuk meraikan perkahwinan anak perempuan Datuk Najib Razak dihalang oleh polis.

Sekretariat itu berkata tindakan tersebut membuktikan gerakan mereka mampu memberi "igauan dan mimpi ngeri" kepada kerajaan apatah lagi jika dilihat dengan kerahan anggota polis dibuat dengan maksima bagi menghalang pergerakan mereka.

"(Ia) memberi gambaran sebenar ketakutan Najib Razak dan terpisahnya kehidupan beliau yang penuh kemewahan di sebalik kerakusan kuasa dengan realiti kehidupan rakyat biasa yang dihantui dengan kesusahan dan kesengsaraan," kata kumpulan itu.

Lihat Komen
ADS