Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sesetengah orang lebih suka mencari buku-buku terpakai untuk dibaca.

Bagi mereka buku-buku 'second hand' ini mempunyai nilai tersendiri kerana ia boleh berupa klasik dan bersifat langka atau sukar lagi ditemukan.

Seorang penggemarnya, Ahmad Tajuddin Abdullah berkata beliau tidak kisah meskipun buku-buku lama ini kelihatan lusuh dan kertasnya telah bertukar keperangan dengan beberapa coretan di sana sini.

"Buku-buku lama mempunyai nilai sentimental yang tersendiri. Selain isinya, bau dan kulit luarnya nampak klasik. Harganya pula lebih murah berbanding buku baharu di pasaran," kata pemilik 500 buku terpakai ini.

Pelajar Sarjana Kejuruteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini  mengumpul buku terpakai sejak berusia 19 tahun.

"Bayangkan jika ada buku yang mempunyai tandatangan penulisnya atau contengan nota kecil oleh pembaca (pemilik) terdahulu. Ini bagi saya menjadikan buku tersebut semakin bernilai.

"Apatah lagi, jika pemilik sebelum ini merupakan seorang profesor atau seseorang yang dikenali ramai, ia mengujakan bagi saya," katanya.

Terdapat beberapa kedai buku terpakai yang sering menjadi kunjungan seperti Pay Less Books di pusat beli-belah Ampang Point, Ampang, Selangor; Junk Book Store, Jalan Tun H.S. Lee, Kuala Lumpur; Book Xcess, Amcorp Mall, Petaling Jaya, Selangor; Novel Hut, Ipoh dan Pasar Chowrasta, George Town, Pulau Pinang.

Namun bagi Muhamad Hafifi Mokhtar, pelajar Sarjana Muzik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), kebanyakan buku-buku terpakainya dibeli secara dalam talian kerana lebih mudah.

"Namun sekiranya sempat, saya akan singgah ke kedai buku terpakai untuk membelek dan membelinya. Selalunya saya mengambil masa yang lama untuk memilih," katanya yang memiliki hampir 200 buah buku terpakai.

"Antara buku termahal pernah saya miliki novel bertajuk 'Atheis' karya penulis Indonesia, Achdiat Karta Mihardja cetakan tahun 1973, dengan harga RM10," katanya.

Seorang penjual bukan sepenuh masa Nik Li Raja Deraman berkata beliau menjual buku terpakai secara dalam talian kerana lebih menjimatkan tanpa perlu membayar sewa premis, membolehkan bukunya dijual dengan harga lebih rendah.

"Buku terpakai paling mahal saya jual berharga RM70 iaitu novel 'Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck' karya Hamka cetakan Pustaka Antara sekitar 1960-an," katanya dan menambah buku paling mahal pernah dibelinya ialah 'Hang Tuah' berharga RM200 terbitan Balai Pustaka Indonesia cetakan tahun 1958.

Nik Li beroperasi sejak 2010 dan memperoleh bukunya daripada pelbagai sumber termasuk perpustakaan yang mahu melupuskan buku lama, kedai buku yang menjual stok lama mereka dan koleksi individu tertentu.

Pengurus audit syarikat swasta ini yang juga Admin grup Facebook Kolektor Buku-buku Semalaysia berkata grupnya kini disertai hampir 4,000 pemilik akaun Facebook yang meminati buku-buku terpakai.

Beliau menggunakan Facebook untuk bertukar-tukar pandangan serta menjual-beli buku terpakai bersama pemilik akaun yang lain.

Pengurus Books Premier League, Rosmawati Abdul Manaf berkata pelanggannya termasuk dari Itali dan Thailand yang begitu menggemari buku terpakai.

Beliau yang menjalankan perniagaan sejak 2013 berkata pelanggannya boleh juga memesan secara dalam talian.

Beliau pernah menjual buku karya Rudyard Kipling cetakan 1940 dengan harga RM40.

- Bernama

Lihat Komen
ADS