Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berharap agar isu penstrukturan industri air di negeri itu tidak dipolitikkan demi kepentingan rakyat.

Titahnya, Menteri Besar Mohamed Azmin Ali perlu lebih bertegas agar rundingan berkenaan dapat dimuktamadkan segera.

"Beta mahu menteri besar bertegas mempertahankan kepentingan rakyat. Beta harap penstrukturan semula air di Selangor dapat dimuktamadkan segera berdasarkan semangat dan terma perjanjian yang ditandatangani pada 12 September 2014.

"Beta yakin pendekatan bersemuka dan berbincang dapat dilakukan demi menjamin perkhidmatan air terawat yang efisyen dan mesra rakyat kepada warga Selangor.

"Oleh itu beta seru agar perkara itu tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak supaya ia dapat dilaksanakan dengan sempurna untuk memenuhi keperluan pembangunan demi kehidupan rakyat," titah baginda.

Baginda bertitah semasa merasmikan pembukaan penggal ketiga persidangan DUN Selangor yang ke-13.

Sementara itu, Azmin ketika ditemui pemberita selepas itu berkata, kerajaan negeri akan muktamadkan perjanjian industri air jika kerajaan persekutuan menghormati syarat perjanjian yang ditandatangani.

Ketika ditanya, beliau berkata pertemuan dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili akan ditetapkan secepat mungkin bagi membincangkan masalah perjanjian tersebut.

"Saya difahamkan beliau (Ongkili) berada di luar Kuala Lumpur, iaitu Sabah dalam beberapa hari ini. Sekembalinya beliau dari Sabah, saya akan tetapkan tarikh secepat mungkin.

“Di peringkat pegawai kita telah adakan perbincangan pada Isnin lalu dan saya ingin menyusul dengan pertemuan bersama menteri supaya ia dapat dimuktamadkan dengan segera," katanya.

Pada 10 Mac lalu, Azmin berkata perjanjian penstrukturan air di antara Selangor dan kerajaan Persekutuan lupus secara automatik apabila Putrajaya cuba mengambil alih 26,000 kilometer jajaran tanah Selangor.

Menurut Azmin, perjanjian yang ditandatangani pada 12 September tahun lalu hanya melibatkan pemindahan aset air dari Selangor kepada kerajaan Persekutuan dan bukan tanah.

Lihat Komen
ADS