Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS Klang calonkan Hadi, Tuan Ibrahim
Diterbitkan:  Mar 30, 2015 11:25 AM
Dikemaskini: 5:09 AM

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menggesa anggota dan pemimpin  parti mematuhi arahan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan segala keputusan dibuat dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi parti.

    

Ketika membuat saranan itu, beliau berkata anggota parti perlu bertindak mengikut dasar parti dan segala perbezaan pendapat perlu diurus dengan baik.

    

"Meskipun kita menghormati rakan pakatan pembangkang, tetapi ahli PAS harus bertindak berlandaskan dasar parti.

     

"Autoriti presiden menentukan keputusan dan hala tuju PAS," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Ke-30 PAS Kawasan Klang di Pandamaran di Klang semalam.

      

Dalam pada itu, Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kelantan menarik perhatian bahawa Kelantan berazam untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu dan oleh yang demikian, anggota PAS tidak sepatutnya menyokong cadangan untuk menangguh atau menolak pelaksanaan hudud.

Abdul Hadi sebelum ini mengemukakan notis usul kepada Dewan Rakyat pada 18 Mac lepas bagi membentangkan Rang Undang-undang Persendirian untuk pelaksanaan hudud di Kelantan.

    

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Klang, Mohd Prasad Hanif berkata mesyuarat agung kawasan Klang pada semalam sebulat suara menyokong kepimpinan ulama menerajui parti dengan mencalonkan Abdul Hadi bagi mempertahankan jawatan presiden parti untuk pemilihan parti Jun ini.

    

Beliau berkata perwakilan yakin kepimpinan ulama wajar diketuai Abdul Hadi yang membawa kemenangan besar kepada PAS sejak menjadi presiden.

    

Mohd Prasad turut menyelar tindakan DAP yang memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi berhubung isu hudud yang  dilihat bertentangan dengan amalan demokrasi.

    

Bagi jawatan Timbalan Presiden, PAS Kawasan Klang mencalonkan Tuan Ibrahim Tuan Man.

    

Mohd Amar, Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad dan anggota parlimen Temerloh Nasrudin Hasan masing-masing dicalonkan untuk jawatan naib presiden.

    

-Bernama

Lihat Komen
ADS