Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sikap terlalu bergantung kepada rawatan dan ubat-ubatan di hospital kerajaan antara punca kurangnya rasa tanggungjawab rakyat negara ini terhadap penjagaan kesihatan yang berkesan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat) Dr K.Manimaran berkata sikap itu menyebabkan mereka tidak menitikberatkan soal amalan gaya hidup sihat bagi mengelakkan penyakit seperti diabetes, darah tinggi dan sakit jantung yang merupakan masalah utama dalam masyarakat sekarang.

"Kita mendapati mereka (rakyat) terlalu banyak bergantung kepada hospital dan juga KKM (Kementerian Kesihatan)...kita nak mereka (rakyat) menguruskan kesihatan dengan sendiri. Jangan ingat sakit boleh pergi hospital, bayar RM1, boleh dapat semua," katanya kepada Bernama selepas perasmian dan penyerahan sumbangan daripada penaja Kejohanan 'KL-Maran Marathon 2015 (204km)' di Kuala Lumpur malam tadi.

Sehubungan itu, beliau berkata sikap sedemikian perlu dikikis kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.

"Sebenarnya tidak susah hendak menguruskan penyakit seperti diabetes ini...hanya dengan melakukan aktiviti fizikal, senaman dan juga (diet) pemakanan sahaja," katanya.

Dalam pada itu, Dr Manimaran berkata majikan di tempat kerja juga perlu memainkan peranan penting bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat di kalangan pekerja sekali gus menjamin kelangsungan kesihatan yang baik.

Katanya di tempat kerja, perlu ada polisi tertentu untuk memastikan pekerja sihat seperti menyediakan perkhidmatan gimnasium percuma dan mewujudkan kawasan bebas asap rokok dalam pejabat.

"Kalau pekerja sakit, ambil MC (Sijil Sakit) selalu ia akan merugikan jabatan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata MySihat akan melancarkan 'Program Jom Kurus dan Sihat' selepas Hari Raya Aidilfitri nanti sebagai usaha membantu rakyat Malaysia yang berlebihan berat badan (obes) menurunkan berat badan.

Dr Manimaran berkata menerusi program itu nanti, seminar berkaitan aktiviti fizikal dan pemakanan sihat akan dianjurkan di seluruh negara dan mengenal pasti peserta yang berkelayakan menyertai program berkenaan.

"Kita mendapati lebih kurang 60 peratus rakyat Malasyia tidak menjalankan aktiviti fizikal seperti senaman...mereka tidak aktif, dan masalah obesiti juga antara masalah utama di negara ini sekarang.

"Jadi kita akan buat seminar di bandar-bandar besar dan akan memilih peserta yang layak (peserta yang obes) daripada seminar ini nanti untuk mereka masuk program ini," katanya.

Kejohanan 'KL-Maran Marathon 2015 (204km)' yang dianjurkan Kelab Sukan Marathon United, Kuala Lumpur itu disertai 250 peserta daripada pelbagai lapisan umur antara 11 tahun hingga 60 tahun bermula hari ini hingga Khamis nanti.

- Bernama

Lihat Komen
ADS