Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bayaran balik cukai terlebih bayar dalam 2 hari

Pembayar cukai boleh mendapat bayaran balik cukai terlebih bayar daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam masa dua hari selepas menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP), kata Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar.

Beliau berkata bayaran balik cukai terlebih bayar kepada LHDN boleh dilakukan dalam masa dua hari jika segala maklumat yang diberikan adalah betul.

"Bila maklumat yang diberikan adalah betul kita akan proses dengan cepat. Tapi bila hantar borang dengan maklumat yang tidak lengkap ini akan menyebabkan LHDN makan masa untuk proses.

"Secara purata kalau hari ini hantar, esok proses, lusa dia (pembayar cukai) dapat (bayaran cukai terlebih bayar). Bagaimanapun, semua ini bergantung kepada jumlah BNCP yang diterima," katanya ditanya mengenai tempoh pembayaran balik cukai terlebih bayar.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan ceramah umum bertajuk 'Driven By Vision: Fuelled by Creativity and Innovation' dalam program Ceramah Ketua Pegawai Eksekutif di Akademi Percukaian Malaysia di Bangi hari ini.

Mohd Shukor berkata dijangkakan empat juta pembayar cukai di negara ini menggunakan sistem e-Filing dan ia mewakili kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan pembayar cukai.

Kemudahan e-Filing merupakan aplikasi percuma yang disediakan oleh LHDN untuk memudahkan pembayar cukai melengkap, mengira dan mengemukakan BNCP secara elektronik melalui internet.

Laporan sebelum ini menyebut, tarikh akhir untuk mengembalikan borang penyata cukai pendapatan bagi punca pendapatan bukan perniagaan (Borang BE) dan bayaran baki cukai kena dibayar melalui sistem e-Filing dilanjutkan sehingga 15 Mei ini.

Bagaimanapun, bagi mereka yang mengisi borang secara manual, tarikh akhir kekal pada 30 April ini dan penalti akan dikenakan sekiranya mereka gagal mengisi borang selepas tarikh itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS