Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nur Jazlan: Tahan editor TMI 'satu kesilapan'
Diterbitkan:  Mar 31, 2015 9:48 AM
Dikemaskini: 1:36 PM

Empat editor The Malaysian Insider (TMI) dan penerbit The Edge tidak sepatutnya dithan bawah Akta Hasutan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Ahli parlimen Umno itu, yang juga penulis kolum TMI, berkata beliau percaya bahawa laporan portal itu kes salah lapor dengan tiada niat menghasut.

"Mereka tidak sepatutnya ditahan bawah Akta Hasutan. Jika ada kesalahan, ada peruntukan undang-undang lain boleh digunakan.

"Tindakan ini, saya rasa satu kesilapan (dalam laporan). Ia tidak sepatutnya (disiasat) bawah Akta Hasutan," kata ahli parlimen Pulai ketika ditemui wartawan hari ini.

Selain Seksyen 4 Akta Hasutan, empat editor TMI dan penerbit syarikat pemiliknya juga disiasat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Operasi pihak berkuasa ke atas TMI diteruskan hari ini dengan penahanan pemimpin syarikat induknya Ho Kay Tat dan ketua pegawai eksekutif portal tersebut Jahabar Sadiq.

Sementara itu, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) menyifatkan serbuan polis ke atas pejabat TMI semalam sebagai tindakan memalukan dan menuntut agar tiga orang editor portal itu dibebaskan.

Tiga editor tersebut -- Lionel Morais, Zulkifli Sulong dan Amin Shah Iskandar -- ditahan dan telefon bimbit serta komputer mereka juga dirampas.

Operasi itu dijalankan susulan penerbitan satu berita berhubung Majlis Raja-Raa yang didakwa tidak betul.

Ia menjadikan jumlah anggota masyarakat sivil yang ditahan pada bulan ini seramai 100 orang.

“Serbuan dan penahanan ini sebahagian daripada trend kemerosotan tahap kebebasan berekspresi di Malaysia yang membimbangkan.

“Sangat memalukan dan mengejutkan bila undang-undang digunakan dalam cara ini, yang merupakan serangan ke atas kedaulatan undang-undang,” kenyataan CI dipetik.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh para pengarahnya, Sonia Randhawa dan Jac Kee.

'Keterlaluan, sekat fungsi media'

Dalam kenyataan itu, mereka turut mempersoalkan serbuan dan tangkapan yang dibuat dan jika artikel yang disiarkan tidak betul, ia boleh ditolak serta portal itu diminta menarik balik atau membuat pembetulan.

"Jika polis mahu membuat penyiasatan, mereka boleh meminta maklumat yang diperlukan daripada TMI daripada melakukan serbuan ke pejabat dan menahan editor mereka," katanya.

Sementara itu, kumpulan perikatan longgar wartawan dan pengamal media GERAMM mengutuk tindakan pihak berkuasa dan menyifatkan penahanan tiga editor itu sebagai "keterlaluan" dan "menyekat fungsi media".

"Kami menganggap tindakan itu suatu bentuk ugutan dan gangguan terhadap media serta suatu bentuk penyalahgunaan kuasa untuk mendiamkan media," kenyataan GERAMM dipetik.

Kumpulan itu percaya polis dan pihak yang berkaitan boleh terus berhubung dengan organisasi media itu tanpa perlu melakukan tindakan yang boleh dianggap "pencabulan terhadap hak kebebasan bersuara".

"GERAMM percaya hal ini boleh diselesaikan dengan pertemuan atau rundingan antara pihak terbabit kerana media sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa sebelum ini," kata GERAMM.

Berikut antara reaksi lain terhadap tindakan itu:

Institut Kewartawanan Malaysia (IoJ)

"Kami mengulangi seruan supaya Akta Hasutan dimansuhkan dan kami menggesa pihak berkuasa agar tidak mengambil tindakan yang keras terhadap wartawan.”

Schave Jerome De Rozario

Setiuasaha agung Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ)

“Kesatuan percaya polis, dengan penggunaan Akta Hasutan untuk menyiasat wartawan dianggap untuk menakut-nakutkan dan mengganggu kebebasan akhbar. ”

Foreign Correspondents Club of Malaysia

“Jika kerana laporan salah, memadai hanya memanggil semua saksi dan suspek untuk merakamkan percakapan kerana tiada alasan munasabah untuk menahan mereka semalaman, apatah lagi meremannya untuk beberapa hari. ”

Lim Guan Eng

Ketua

m enteri Pulau Pinang

"Di mana erti kebebasan akhbar jika mereka yang menulis sesuatu yang negatif atau laporan mengenai kesalahan kerajaan BN dihukum serta merta dengan tempoh penahanan dan tidak munasabah?"

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

Naib presiden PAS

"Penggunaan Akta Hasutan secara semberono dalam mengekang rakyat akan pasti menambahbiaknya kebangkitan dan kemarahan rakyat.

Eric Paulsen

Pengarah eksekutif Lawyer For Liberty

“Penahanan lebih 100 individu baru-baru ini melibatkan wakil rakyat, ahli politik, aktivis, peguam dan wartawan, menunjukkan Malaysia jelas menuju ke arah negara kuku besi yang mengimbau kembali Operasi Lalang.”

Lihat Komen
ADS