Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gangguan bekalan air tidak berjadual di S'gor
Diterbitkan:  Apr 2, 2015 9:39 AM
Dikemaskini: 3:59 AM

Pemulihan bekalan air secara berperingkat bagi kawasan yang terjejas di wilayah Petaling, Kuala Langat dan Sepang dijangka mengambil masa selama tiga hari selepas bekalan air disalurkan semula oleh loji rawatan air tersebut, kata  Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS).

"Manakala bagi kawasan Hulu Langat, pemulihan bekalan air secara berperingkat dijangka mengambil masa lebih lama," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku di kawasan berkenaan semalam adalah berikutan penutupan dua Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi kerana pencemaran.

  

Penutupan kedua-dua loji itu semalam, katanya, ekoran pencemaran sumber air mentah di Sungai Semenyih dan Sungai Langat.

Menurut SYABAS, berikutan penutupan LRA Bukit Tampoi, sebanyak 11,863 pintu rumah di 19 kawasan di Kuala Langat dan 250 pintu rumah di Sepang dijangka mengalami terputus bekalan air dan tekanan air rendah.

"Penutupan operasi LRA Sungai Semenyih dijangka menyebabkan sebahagian pengguna mengalami terputus bekalan air dan tekanan air rendah iaitu di wilayah Petaling sebanyak 61 kawasan (143,098 pintu rumah); Hulu Langat sebanyak 209 kawasan (143,413 pintu rumah); Kuala Langat sebanyak 47 kawasan (47,147 pintu rumah) manakala Sepang sebanyak 85 kawasan (61,469 pintu rumah)," menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan lain, menurut Syabas kerja pembaikan paip jenis Mild Steel (MS) bergaris pusat 600mm yang pecah/patah di Bandar Puteri Puchong awal pagi Ahad lepas telah siap dibaiki sepenuhnya tengah semalam.

"Bagaimanapun, bekalan air ke kawasan Bandar Puteri Puchong yang melibatkan 8,026 pintu rumah yang terjejas sejak kejadian paip pecah/patah ini masih belum dapat dipulihkan kerana LRA Sungai Semenyih yang membekalkan air ke kawasan ini kini telah ditutup sementara pada 9 pagi tadi ekoran pencemaran sumber air.

"Bekalan air kepada pengguna di kawasan terjejas hanya dapat disalurkan semula apabila bekalan air dari loji tersebut kembali pulih," katanya.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini mengenai gangguan bekalan air dengan memuat turun aplikasi telefon mudah alih mySYABAS dan laman web SYABAS atau daripada Pusat Panggilan Syabas (Puspel) di talian bebas tol 1-800-88-5252.

- Bernama

Lihat Komen
ADS