Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Selepas pencabar Hadi cukup pencalonan...
Diterbitkan:  Apr 13, 2015 1:00 PM
Dikemaskini: 10:05 AM

Selepas cukup pencalonan untuk mencabar presiden, penyokong veteran PAS Ahmad Awang dilihat terus berkempen mengangkatnya sebagai calon terbaik berdepan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Anggota Parlimen parti Islam itu Khalid Samad mengetengahkan "perbualannya" dengan seorang penyokong Ahmad selepas mesyuarat agung tahunan PAS Shah Alam.

Dalam pemilihan peringkat bahagian itu sebelum ini, Ahmad dan Hadi sama-sama popular di mata perwakilan apabila dipisahkan cuma enam undi.

Hadi mendapat 78 undi, manakala Ahmad memperoleh 72 undi.

"Dia (Ahmad) menyelamatkan PAS semasa PRU (pilihan raya umum) 2008 dahulu. Kalau tidak kerana ketegasan Ustaz Ahmad Awang, PAS Perak mungkin sudah bersatu dengan Umno di Perak untuk membentuk kerajaan.

"Dia mampu menyatu padukan ahli dan PAS bersama Pakatan Rakyat. Kita patut berikan dia peluang," tulis Khalid, memetik jawapan penyokong Ahmad itu.

Bagaimanapun Khalid, dalam perbualan yang diceritakan kembali di blognya hari ini, membantah dengan menyatakan bahawa Hadi juga bertegas dengan Umno sewaktu krisis di Perak.

Ahmad 3, Hadi 22, Husam 8

"Tidak apalah YB, mesyuarat agung tahunan kawasan pun sudah selesai. Pandangan saya begitu. Bagi saya, PAS perlukan presiden yang lebih bijak merancang dan mengatur strategi, pandai berkawan dan jujur dalam persahabatan.

"Tapi yang lebih penting lagi, sebagai ketua eksekutif, seseorang presiden mesti bersedia untuk dikritik dan ditegur. Tidak dianggap 'berdosa' menyanggah pandangannya dan tidak salah membetulkan kesilapannya sekiranya tersilap," tulis Khalid, memetik jawapan anggota akar umbi PAS itu.

Ahmad selamat dengan tiga pencalonan bahagian dengan pencalonan daripada Parit Sulong, Jelebu dan Bukit Gelugor. Hadi pula mendapat sekurang-kurangnya 22 pencalonan kawasan.

Sementara itu Naib Presiden Datuk Husam Musa pula mendapat sekurang-kurangnya lapan pencalonan daripada kira-kira 30 daripada 191 bahagian yang telah bermesyuarat setakat ini.

Muktamar pemilihan PAS kali ini akan berlangsung pada Jun ini di Kuala Selangor.

Soalan Umno: Kamu barua atau broker?

Dalam tulisan di blog itu juga, Khalid berkata, berdasarkan maklum balas diterimanya, akar umbi PAS mengakui ketokohan dan kefakihan Hadi tetapi mereka perlukan pemimpin yang cekap berpolitik.

Perkara lain dibangkitkan padanya termasuk dakwaan kelemahan kepimpinan Hadi seperti kekalahan PAS di Terengganu sebelum ini, tidak terbuka pada kritikan serta kegagalan menangangi perbalahan dalaman parti dan Pakatan.

Selain itu, kata Khalid, anggota itu turut mempersoal kritikan Hadi kepada Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail secara terbuka dalam krisis Selangor serta tindakannya melemparkan ungkapan “barua” dan “broker' kepada ahli dan pimpinan PAS tertentu.

"Saya minta maaf lagi, saya hingga hari ini tidak boleh terima. Sudahlah tu, bukti pun tidak ada. Tetapi main tuduh begitu. Terbuka pula.

“Bila saya balik dari muktamar, kawan saya dari Umno tanya saya, kamu ni barua ke broker? Geramnya saya,” katanya.

Lihat Komen
ADS