Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
GST: Peniaga tak berdaftar akan didakwa
Diterbitkan:  Apr 13, 2015 5:47 PM
Dikemaskini: 9:52 AM

Beberapa peniaga yang mengenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) tanpa berdaftar dengan sistem percukaian itu dijangka didakwa di mahkamah minggu ini, kata Pengarah Bahagian GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk T Subromaniam.

Beliau berkata sebanyak 13 kertas siasatan telah dibuka bagi kesalahan mengenakan CBP atas perbekalan tanpa berdaftar dan semunya akan diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) minggu ini untuk siasatan lanjut.

"Kita serah semua kertas siasatan kepada DPP untuk dapatkan izin kelulusan bagi tentukan kes mana yang melanggar peraturan dan boleh didakwa di mahkamah.

"Kita (Kastam) tidak ada kuasa kerana kita hanya sebagai penguatkuasa.  Kalau DPP rasakan ada kes (boleh dakwa di mahkamah) barulah akan beri keizinan, tapi ada sesetengah kertas siasatan mempunyai bukti yang cukup," katanya dalam sidang media mengenai pelaksanaan CBP di sini, hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri Ketua Setiuasaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Alias Ahmad.

Menurut Subromaniam kebanyakan kes yang disiasat itu membabitkan peniaga di sekitar Lembah Klang, Perak serta Johor dan antara perniagaan yang terlibat

adalah restoran dan kedai runcit.

Subromaniam berkata di bawah Seksyen 96 Akta CBP 2014, peniaga yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya dan akan dikenakan penalti dua kali ganda amaun cukai.

Sementara itu Alias berkata sejak CBP dilaksanakan pada 1 April sehingga semalam, pihak kementerian telah membuka sebanyak 208 kertas siasatan berhubung pelanggaran terhadap pematuhan CBP selain menaikkan harga barangan.

Katanya semua kertas siasatan itu dijangka siap dalam tempoh sebulan memandangkan jumlahnya yang agak banyak.

Dalam perkembangan lain, Alias berkata pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara bagi mewajibkan peniaga mempamerkan papan tanda di premis masing-masing yang menyatakan bahawa perniagaan itu mengenakan caj perkhidmatan.

"Ini langkah interim sehingga satu polisi baharu mengenai caj perkhidmatan diwujudkan oleh kerajaan," jelas Alias.

Sehingga semalam (12 April) sebanyak 370,100 perniagaan telah berdaftar dengan CBP.

- Bernama

Lihat Komen
ADS