Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Iyad Ameen Madani menggesa negara anggota dan pertubuhan masyarakat madani menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Yaman.

OIC dalam satu kenyataan hari ini berkata Sekretariat Jeneral telah berunding dengan beberapa badan-badan masyarakat sivil dan pertubuhan kemanusiaan yang lain bagi bantuan terutama bekalan perubatan, makanan dan bantuan kemanusiaan bagi membolehkan mereka menangani krisis politik dan keselamatan yang meruncing di Yaman.

"Sekretariat Jeneral juga berunding dengan agensi-agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu dan Jawatankuasa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa untuk mengambil langkah segera bagi meringankan penderitaan penduduk Yaman dan mempertimbangkan langkah-langkah yang perlu dalam jangka masa sederhana," kata beliau sambil memuji bantuan yang diberikan oleh beberapa kerajaan dan pertubuhan amal.

Keadaan di Yaman mula bergolak selepas tentera Arab Saudi yang mengetuai tentera pakatan Teluk melancarkan operasi ketenteraan untuk menyelamatkan kerajaan Presiden Abedrabbo Mansour Hadi daripada konflik perang saudara.

Sementara itu, Iyad Ameen mengutuk keras serangan pengganas di Sinai, Republik Arab Mesir semalam (12 April) yang menyebabkan kematian dan kecederaan dalam kalangan anggota tentera, polis dan orang awam.

Beliau juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan semoga mereka yang cedera dalam tragedi itu segera sembuh.

Iyad Ameen juga melahirkan sokongan OIC kepada Mesir untuk mempertahankan keselamatan dan kestabilannya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS