Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Tanggapan orang ramai berebut-rebut membeli rumah sebelum perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmaan (GST) tidak benar kerana transaksi harta tanah bagi suku pertama tahun ini menurun berbanding tahun lepas.

Timbalan Menteri Kewangan Chua Tee Yong berkata berdasarkan statistik Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), jumlah transaksi harta tanah bagi suku pertama tahun 2015 sebanyak 88,600.

Katanya, ini bermakna ia menurun sebanyak 6.2 peratus berbanding 94,500 jumlah transaksi pada suku keempat tahun 2014.

"Ramai orang mengatakan bahawa jika kita membeli rumah sebelum GST, kita dapat beli dengan harga lebih murah kerana harga rumah dijangka lebih mahal selepas GST.

"Namun, data-data ini jelas menunjukkan bahawa tanggapan ini tidak benar kerana transaksi harta tanah bagi suku pertama tahun ini telah menurun," katanya selepas melancarkan Laporan Pasaran Harta 2014.

Menurutnya lagi, jika dibandingkan dengan transaksi pada suku pertama tahun 2014, jumlah transaksi bagi suku pertama tahun ini pula menurun sebanyak 4.6 peratus.

Manakala, dari segi jumlah nilai transaksi pula, beliau berkata bagi suku pertama tahun ini sebanyak RM38.5 bilion dan jumlah itu berkurangan berbanding RM38.6 bilion bagi suku keempat 2014 dan RM40 bilion bagi suku pertama tahun 2014.

Chua yang juga naib presiden MCA berkata, dari tahun 2010 hingga 2014, kebanyakan transaksi harta tanah adalah untuk rumah kediaman terutamanya harga RM500,000 ke bawah.

"Transaksi rumah kediaman merangkumi 84% daripada jumlah transaksi.

"Contohnya, pada 2013 jumlah transaksi bagi rumah kediaman RM200,000 hingga RM500,000 rumah adalah sebanyak 74,153 dan jumlah transaksi telah meningkat kepada 102,082 pada 2014.

"Maka, ini adalah kadar harga yang boleh ditanggung oleh kebanyakan orang dan mempunyai permintaan yang tinggi," katanya yang juga MP Labis.

Harga rumah naik tapi perlahan

Sementara itu, Indeks Harga Semua Rumah bagi suku keempat tahun 2014 berada pada 213.1 mata (atau RM295,345) dan lebih tinggi berbanding dengan 192.9 mata (atau RM266,394) pada tahun 2013.

Namun, kadar kenaikan harga rumah sebanyak 7 peratus pada suku keempat tahun 2014 lebih rendah atau perlahan berbanding dengan 9.6 peratus pada suku keempat tahun 2013 dan 12.2 peratus pada suku keempat tahun 2012.

"Ini bermakna harga rumah masih meningkat pada tahun 2014 tetapi peningkatan tersebut adalah pada kadar yang lebih perlahan berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya," kata Chua dalam ucapannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS