Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sayap parti mahu Mukhriz kunci mulut
Diterbitkan:  Apr 16, 2015 8:33 PM
Dikemaskini: 12:36 PM

Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Kedah telah meminta Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir supaya tidak membuat sebarang kenyataan tentang pendirian Umno negeri terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 April ini.

Ketua Pemuda Umno Kedah Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata permintaan ketiga-tiga sayap Umno negeri itu telah disuarakan oleh mereka kepada Mukhriz dalam satu pertemuan hari ini.

"Kami tidak mahu menteri besar berada dalam keadaan yang sukar kerana semua sedia maklum hubungannya dengan Tun Dr Mahathir dan mahukan beliau memberi tumpuan 100 peratus untuk usaha memperkukuh parti dan mentadbir negeri.

"Kami juga bimbang jika kenyataan (Mukhriz) pada 24 April itu akan diputar belit oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab," katanya pada sidang media di Bangunan Umno Kedah hari ini.

Menurut Shaiful Hazizy, ketiga-tiga pergerakan Umno itu di Kedah berdiri teguh dan menyokong kepimpinan Mukhriz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah serta Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Wanita Umno Datuk Maznah Hamid dan Ketua Puteri Umno Kedah Nurhazimah Mat Nawab.

Shaiful Hazizy berkata tempoh dari hari ini hingga 24 April adalah terlalu lama dan dibimbangi ada pihak yang tidak bertanggungjawab mahu "menangguk di air keruh" terhadap keadaan ketika ini.

Mengenai kenyataan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada Datuk Ahmad Lebai Sudin yang mahukan Mukhriz meletak jawatan sekiranya gagal menyokong perdana menteri, beliau berkata mereka tidak tergugat dengan kenyataan itu.

"Umno Kedah bersatu-padu dan tidak tergugat dengan kenyataan ADUN Bukit Lada itu, yang nampak kenyataannya bersifat peribadi dan kami tidak tahu motifnya," katanya.

Beliau juga menyifatkan komen dan kritikan terhadap menteri besar sebagai tidak lebih hanya tindakan nakal oleh mereka yang berada di tahap "senja politik dan yang cuba mencari nafas politik baharu".

"Kami memberi amaran supaya jangan mencuba. Sayap (Umno Kedah) akan pertahan Mukhriz Mahathir dalam apa jua cara. Tiada masalah dalam hubungan beliau dengan perdana menteri, intact dan baik. Beliau memberi kerjasama kepada presiden parti dalam merealisasikan misi dan tugasan parti," katanya.

Ditanya sama ada spekulasi bakal menjadi lebih hebat sekiranya Mukhriz tidak membuat kenyataan pada 24 April itu, Shaiful Hazizy menidakkannya kerana Umno Kedah mempunyai hubungan yang baik dengan Najib.

Malah, katanya, ketiga-tiga sayap Umno Kedah telah mengadakan pertemuan dengan perdana menteri minggu lepas.

Sementara itu, Maznah berkata kemelut politik yang sedang berlaku kini tidaklah seteruk seperti yang digambarkan oleh pihak luar dan keadaan dalam Umno Kedah adalah adalah seperti biasa.

Mukhriz, katanya, berada dalam keadaan tenang menghadapi keadaan ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS