Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Syor tambah peraturan pakaian DUN Perak
Diterbitkan:  Apr 17, 2015 2:28 PM
Dikemaskini: 6:37 AM

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Datuk Seri SK Devamany akan mengesyorkan kepada Jawatankuasa Perintah Tetap untuk menambah peraturan berpakaian bagi menjaga adab dan adat sebagai anggota dewan dalam Perkara 10 Peraturan-peraturan dan Perintah Tetap DUN.

Beliau berkata cadangan tersebut akan dibincangkan bersama jawatankuasa tujuh anggota itu yang dipengerusikannya, termasuk dua wakil rakyat pembangkang, pada mesyuarat yang akan dijalankan pada Selasa depan.

"Saya mengesyorkan perkara itu bagi mewajibkan pemakaian pakaian istiadat perasmian dalam kalangan wakil rakyat pada sidang DUN akan datang.

"Ini kerana dalam Perintah Tetap kita memang 'silent' tidak ada peruntukan yang menetapkan keperluan ini. Kita nak ubah suai sistem ini, kerana perkara ini ada kaitan dengan perlembagaan peringkat Kebangsaan dan perlembagaan Negeri," katanya pada sidang media di Ipoh hari ini.

Perkara 10 Peraturan-peraturan dan Perintah Tetap menetapkan:

(1) Penggal Dewan hendaklah diadakan pada waktu dan tempat sebagaimana yang ditetapkan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dari semasa ke semasa melalui perisytiharan dalam Warta.

(2) Mesyuarat Dewan hendaklah diadakan sekurang-kurangnya tiap-tiap enam bulan tidak melewati di antara persidangan terakhir di dalam satu penggal dan persidangan pertama di dalam penggal yang berikutnya.

Peraturan itu disyorkan berikutan tindakan 26 anggota pembangkang DUN tiba di perkarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan secara berkumpulan dengan berpakaian serba hitam bersempena istiadat pembukaan sidang DUN ke-13 pada 31 Mac lepas.

Devamany berkata selepas mesyuarat itu, tambahan peraturan tersebut akan diusulkan pada persidangan DUN akan datang bagi mendapatkan persetujuan anggota dewan.

"Kalau dewan luluskan, lulus lah. Walaupun kita buat pengesyoran, jawatankuasa membuat ketetapan, tapi mesti diluluskan dalam DUN. Dengan perubahan perundangan yang bakal kita buat, ia demi kesejahteraan semua kerana Malaysia dan budaya kita duduk dalam pagar kesantunan dan kesusilaan.

"Ada perkara di mana kita boleh lupakan perbuatan kita, tapi ada perkara akan masuk dalam sejarah," katanya.

Pada hari yang sama, beliau juga akan mempengerusikan mesyuarat bersama Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi menjelaskan beberapa kenyataan media yang mendakwa wakil rakyat pembangkang Wong Kah Woh (DAP-Canning) diarah keluar dewan selepas beliau membuat pembelaan terhadap keselamatan anggota pembangkang.

Devamany berkata ia ekoran berlaku demonstrasi di luar bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada 6 April lepas, yang dianggap boleh mengancam keselamatan anggota sidang DUN.

"Saya bawa perkara ini bertujuan untuk mendapat justifikasi dan memberitahu maklumat sebenar kepada jawatankuasa apa yang berlaku," katanya.

Beliau menafikan dakwaan itu dan menjelaskan tindakannya mengarahkan Wong keluar dewan pada hari tersebut berikutan anggota pembangkang itu mengingkari arahan beliau supaya tidak mencelah semasa perbahasan.

"Dalam dewan itu saya telah pun memberi jaminan bahawa peristiwa apa pun yang berlaku di dalam bangunan DUN atau di SUK saya akan bertanggungjawab dan memastikan keselamatan mereka." katanya.

Bagaimanapun, katanya perkara yang berlaku di luar bangunan dan berdekatan bangunan Ipoh Raya adalah tanggungjawab keselamatan dalam negeri dan beliau telah memberitahunya kepada Wong.

"Saya serta merta menghubungi Ketua Polis Negeri (Datuk Osman Salleh) supaya mengambil tindakan sewajarnya kerana saya pun amat prihatin mengenai ahli-ahli Yang Berhormat. Seramai 59 orang saya jaga... itu adalah tugas saya sebagai Yang Dipertua," katanya.

Pada 2 April lepas, Devamany mengarahkan Wong keluar selepas beliau berterusan mencelah ketika Salbiah Mohamed (BN-Temenggor), yang sedang membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, menyelar pembangkang kerana menuduh bantuan banjir tidak diberi kepada Orang Asli di Tasik Temenggor.

Devamany memberi peringatan beberapa kali kepada Wong supaya tidak mencelah perbahasan itu namun tidak diendahkan wakil rakyat itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS