Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: 'Demokrasi maklumat' juga undang putar belit
Diterbitkan:  Apr 17, 2015 2:44 PM
Dikemaskini: 7:31 AM

Proses “pendemokrasian maklumat” susulan kecanggihan teknologi komunikasi, turut menyebabkan berlaku penyebaran maklumat tidak benar, kata perdana menteri.

Datuk Seri Najib Razak berkata penyebaran yang lebih bebas dan bersifat dua hala itu juga menyebabkan banyak maklumat diputar belit sehingga disalah erti tanpa disedari, selama bertahun-tahun.

“Kesannya, kita sedang berada dalam era persepsi daripada realiti,” katanya dalam ucapan dimuatkan di laman webnya hari ini.

“Kebanyakan tuduhan dan putar belit yang dilemparkan tidak mencerminkan realiti keadaan sebenar sesuatu isu ataupun kenyataan yang dibuat oleh para pemimpin, biar di pihak kerajaan mahupun pembangkang.”

Dalam ucapan ringkas itu juga, Najib bagaimanapun mengakui di sebalik keadaan buruk itu, “pendemokrasian maklumat” juga memberi kesan baik.

Najib justeru mengingatkan orang ramai supaya menilai kesahihan maklumat dengan membuat semakan sumber agar tidak mudah diperdaya.

Kenyataan Najib itu dikeluarkan ketika perdana menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad ( kanan ) dan penyokongnya giat melancarkan serangan demi serangan terhadap pentadbiran Najib melalui Internet.

Antara isu penting dibangkitkan Mahathir berkaitan dakwaan skandal syarikat pelaburan negara 1Malaysia Developement Bhd (1MDB) dan isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Lebih memburukkan keadaan, selebriti terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Rozita Che Wan juga menyatakan sokongan terbuka kepada Mahathir.

Bagaimanapun, perkara itu tidak mendapat perhatian media arus perdana sehingga mengundang kecaman bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin.

Lihat Komen
ADS