Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Macau scam: Polis tahan 52 rakyat China
Diterbitkan:  Apr 18, 2015 9:20 AM
Dikemaskini: 1:48 AM

Polis menahan 52 warga China yang dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan 'Macau Scam' di enam buah kondominium mewah sekitar ibu negara, sejak kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Law Hong Soon berkata kesemua yang ditahan itu terdiri daripada 26 lelaki dan 26 perempuan berumur 18 hingga 52 tahun.

 

"Hasil risikan dan siasatan polis selama dua bulan, kita menerima sebanyak 15 aduan tentang sindiket penipuan itu daripada orang awam," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur malam tadi,

Beliau berkata dalam 'Ops Pelican' bermula 6 petang kelmarin hingga 5 pagi tadi, polis menyerbu enam buah kondominium mewah sekitar ibu kota.

"Mereka menggunakan premis kondominium mewah dengan kawalan keselamatan yang ketat bertujuan mengaburi kegiatan mereka daripada dihidu oleh pihak berkuasa," katanya.

Law berkata pekerja atau operator anggota sindiket itu dikurung sepanjang masa dan tidak dibenarkan keluar dari kediaman yang dijadikan tempat operasi mereka itu.

"Setiap ahli sindiket dibayar gaji RM2,000 untuk melakukan kegiatan itu dan mereka mempunyai tukang masak sendiri dari China yang menguruskan segala keperluan harian mereka bagi mengelak operator ini berhubung dengan pihak luar," katanya.

Beliau berkata modus operandi yang digunakan ialah mereka akan menghubungi mangsa dan memberitahu mangsa memenangi cabutan bertuah bernilai jutaan ringgit daripada syarikat luar negara.

"Ahli sindiket akan memberi nombor telefon untuk dihubungi bagi memudahkan mangsa menuntut hadiah yang ditawarkan...sebelum hadiah diberikan, ahli sindiket akan meminta mangsa membayar cukai dan insuran ke dalam akaun banknya," kata Law.

Beliau berkata selepas wang dimasukkan ke dalam akaun tersebut, suspek gagal dihubungi dan mangsa tidak memperoleh wang hadiah yang dikatakan dimenangi mereka.

Seterusnya, mangsa juga akan menerima panggilan telefon dari seseorang yang mengaku sebagai pegawai bank tempatan dan mendakwa akaun kad kredit mangsa mempunyai bayaran tertunggak, katanya.

"Mangsa kemudian diminta menghubungi seseorang yang kononnya pegawai dari Bank Negara Malaysia untuk mengelak nama mangsa disenarai hitamkan atau akaun dibekukan... akhirnya mangsa akan mengikuti arahan suspek dengan membuat pemindahan wang ke akaun bank tertentu melalui e-banking atau mesin deposit tunai," katanya.

Beliau berkata hasil siasatan polis mendapati, kesemua 52 yang ditahan itu memasuki negara ini menggunakan visa sebagai pelawat dan diperdaya oleh sindiket  yang menawarkan pekerjaan baik di negara ini, dengan menjadikan mereka sebagai operator mengendalikan Macau Scam itu.

Polis turut merampas 101 peralatan komputer, komputer riba (66 buah), telefon bimbit (55), beg mengandungi risalah nombor telefon (10), wang tunai RM14,955 dan wang tunai Yuan 28,695.

"Ini merupakan ops Macau Scam terbesar dibuat polis untuk tahun ini melibatkan jumlah rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM200,000. Selain itu, polis akan memburu dalang yang menjalankan kegiatan ini," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS