Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sabah lebur rekod tanpa kalah Pulau Pinang
Diterbitkan:  Apr 18, 2015 9:58 AM
Dikemaskini: 2:04 AM

Wakil kelab Terengganu, T-Team mengukuhkan kedudukan di puncak Liga Perdana selepas mengatasi UiTM FC 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan mereka terus kekal di persada liga dengan kutipan 17 mata selepas mengharungi lapan perlawanan.

Dua gol skuad 'The Titans' dijaringkan oleh pemain import, Farhod Tadjiyev pada minit ke-10 dan Sadriddin Abdullaev pada minit ke-47.

Terdahulu, T-Team terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah pengadil, Khairul Rizal Ismail melayangkan kad merah kepada Abdullaev pada minit ke-76 kerana mengasari pemain pasukan pelawat.

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah meleburkan rekod tanpa kalah Pulau Pinang musim ini dengan kemenangan tipis 1-0, hasil jaringan Eamon Zayed pada minit ke-27.

Kejayaan itu membolehkan Sabah memintas Pulau Pinang di tangga kedua liga.

Di Stadium Darul Aman, pasukan Kedah turut mengutip tiga mata penuh selepas mengalahkan Negeri Sembilan yang dikenali sebagai NS Matrix musim ini menerusi kemenangan 2-1.

Chidi Edeh terlebih dahulu meletakkan skuad 'Helang Merah' di hadapan seawal minit ke-11 perlawanan sebelum Jean Marc Alexandre menyamakan kedudukan untuk NS Matrix pada minit ke-75.

Pemain import dari Albania, Liridon Krasniqi memastikan tiga mata penuh untuk Kedah menerusi jaringan kemenangan pada minit ke-82.

Wakil kelab Pahang, Kuantan FA pula meraih kemenangan kedua musim ini setelah mengalahkan SPA Putrajaya FC 1-0, hasil sepakan penalti pemain import, Milan Purovic pada masa kecederaan babak kedua perlawanan di Stadium Darul Makmur.

Dalam pada itu, Kuala Lumpur gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri selepas seri 1-1 menentang Johor Darul Ta'zim II di Stadium Merdeka.

Hattaphon Bun An meletakkan skuad 'The Hawks' di hadapan pada minit ke-18 sebelum pemain Kuala Lumpur, Muhd Zameer Zainun tertampan bola ke dalam gol sendiri pada minit ke-28.

Dua pasukan kelab, PKNS FC dan DRB Hicom FC turut berkongsi satu mata selepas seri tanpa jaringan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS