Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Walaupun Umno menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan hukum hudud, namun isi hati mereka hanya Allah sahaja yang tahu, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau yang juga MP Marang berkata, Islam mengajar umatnya supaya menerima segala ucapan yang dizahirkan walaupun ia daripada orang munafik.

"Dalam Islam kita diajar terima apa yang orang cakap. Nabi kita diajar Allah supaya menerima ucapan yang zahir termasuk ucapan orang munafik.

"(Isi) hati, Tuhan sahaja yang tahu. Yang kita takut, yang ikhlas jadi tak ikhlas," katanya dalam program Bicara Minda Hudud Dari Kaca Mata Hadi anjuran Sinar Harian di Shah Alam hari ini.

MP Marang menjawab soalan hadirin mengenai sejauh mana keyakinan beliau terhadap sokongan Umno mengenai isu hudud.

Sehubungan itu, beliau berkata, PAS mendesak mana-mana ahli Parlimen yang beragama Islam untuk menyokong rang undang-undang persendirian di Parlimen bagi membenarkan pelaksanaan hukuman hudud di Kelantan.

"Sebab itu kita mendesak ahli parlimen Islam terlebih dahulu tanpa kira fahaman politik menyokong (rang undang-undang persendirian)," katanya lagi.

Awal bulan ini Hadi dilapor berkata PAS wajib berunding dengan Umno apabila diajak oleh parti tersebut demi memastikan pelaksanaan hukum jenayah Islam itu di Kelantan.

Katanya lagi, pemimpin dan ahli PAS tidak sewajarnya mempersoalkan keikhlasan Umno menyokong pelaksanaan hukum itu khususnya apabila rang undang-undang persendirian berkaitan hudud dibentangkan di Dewan Rakyat kelak.

Lihat Komen
ADS