Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pembangkang dicabar kemuka alternatif GST
Diterbitkan:  Apr 23, 2015 6:20 AM
Dikemaskini: 11:55 PM

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan mencabar pembangkang supaya mengemukakan alternatif sekiranya mereka menolak pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Katanya GST merupakan satu sistem percukaian meringankan beban rakyat dan bukan seperti mana yang didakwa pembangkang dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) di Permatang Pauh dan juga Rompin.

Ahmad berkata sekiranya pelaksanaan GST itu ditolak, beliau ingin tahu apa alternatif yang boleh dikemukakan pembangkang dalam meringankan beban rakyat dan pada masa yang sama dapat memajukan negara.

"Bantahan pembangkang terhadap GST itu tidak betul dan akan menyusahkan rakyat kerana pelaksanaan GST dapat mengurangkan cukai kepada enam peratus dari 10 peratus ketika CJP (cukai jualan dan perkhidmatan)," katanya kepada Bernama sebelum Program Penerangan Isu-isu Semasa di s Bukit Mertajam semalam.

Katanya GST merupakan satu sistem percukaian lebih kemas, tersusun dan juga baik jika dibandingkan dengan CJP yang dikenakan sebelum ini.

"Barisan Nasional akan meneruskan penerangan dan penjelasan pelaksanaan GST supaya dapat memberi keyakinan kepada rakyat," katanya.

Ahmad berkata beliau yakin akan dapat membuktikan bahawa GST adalah jauh lebih baik daripada CJP.

Sementara itu, Ahmad yang juga timbalan menteri kewangan berkata beliau telah mengadakan perjumpaan dengan penceramah bagi kempen PRK untuk menerangkan lebih terperinci tentang GST supaya mereka dapat menyalurkan maklumat tepat kepada rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 5 Mei ini sebagai tarikh PRK Parlimen Rompin, manakala 7 Mei bagi Permatang Pauh.

Sementara itu, jentera kempen badan perhubungan Umno Pulau Pinang akan memberi penerangan menyeluruh berkaitan isu-isu nasional sepanjang berlangsungnya pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh.

Pengerusinya Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, jentera penerangan sayap-sayap Umno, akan memastikan pengundi diberi penjelasan secukupnya sama ada isu melibatkan GST, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), mahupun kritikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap parti itu.

"Kita ada banyak isu dalam PRK yang perlu kita ketengahkan. Kita ada jentera penerangan yang akan bergerak aktif, dan ini termasuklah sayap Wanita Umno sahaja ada sekitar 1,800 orang akan pergi ke rumah-rumah pengundi.

"Kita juga akan ada wakil dari Umno Wilayah Persekutuan serta negeri-negeri lain yang bersedia memberi penerangan tentang apa yang pentingnya pasal GST, apa yang perlu kita fahami pasal 1MDB, dan mereka juga akan menghuraikan tentang kritikan Dr Mahathir," katanya kepada pemberita di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Pelet, semalam.

Terdahulu, Zainal Abidin yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, meluangkan masa hampir tiga jam melawat rumah-rumah pengundi di Kampung Pelet, serta menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS