Ayah - sekujur ikon yang diam

       

Ketika ramai, khususnya pendukung Pakatan Rakyat memuja Adam Adli yang mulai terkenal selepas kejadian menurunkan bendera muka Perdana Menteri, saya lebih teruja dengan Ayah.

Tanpa mengetepi peranan Adam membangkit semangat anak muda untuk melawan penindasan dengan cara muda - panas, mendidih, menggelegak tetapi tidak kurang bijak, Ayah dalam diam menjadi ikon anak muda yang jauh terkedepan berbanding anaknya sendiri.

Sebagai lelaki berusia lebih 50 tahun, semangat dan kental jiwanya jauh mengatasi rakan seperjuangan pada seusianya.

Tidak seperti kebanyakan bapa yang takut anaknya dizalimi penguasa, Ayah seakan-akan merelakan Adam 'disembelih' begitu sahaja. 

Ayah pula seolah-olah tidak kisah, malah membiarkan anaknya itu berkali-kali dihumban ke palang lokap kerana biarlah - kalau itu harganya untuk melawan rejim.

Tidak. Ayah bukan tidak kasihkan Adam, atau adiknya Amar Amin dan anak muda lain yang turut sama ikut terjun pusaran gelombang melawan kezaliman, tetapi Ayah punya percaturan sendiri - sesuatu yang tak mampu dilakukan kebanyakan lelaki seusianya.

Itulah bezanya Ayah. Jiwanya besar. Hatinya berani. Tak hairanlah Adam pada usia mentah mudah mewarisi kehebatan bapanya itu.

Seseorang seperti Ayah tidak sesekali meletakkan kebenaran di belakang tetapi meletakkan kasihnya anak pada garis depan perjuangan.

Dan ternyata, Ayah tidak seperti lelaki seusianya yang tidak pernah cuba menyelami jiwa berontak anak muda. Kerana, seorang bapa, seorang pemimpin partisan atau tidak, seseorang yang lebih tua selalunya alpa dengan kehendak anak muda.

Malah, sesetengah mereka hanya mahu memperalat, memanipulasi kudrat dan pengaruh anak muda; tidak pula memikirkan, jauh sekali menyelami jiwa muda anak muda.

Inilah kelebihan Ayah. Bukan setakat Adam, bahkan anak muda lain menyenangi Ayah kerana sikapnya - sporting, ramah tetapi ada batas yang tak terlihat.

Tidak pernah anak muda seperjuangan tidak menunjukkan hormat Ayah, pada saat bergaul bersama-sama, bergurau bersama-sama - seakan-akan mereka segenerasi.

Dan Ayah tidak pula menjulang ego atau status sebagai 'lelaki yang lebih banyak makan garam' - sentiasa memahami tetapi pintar mengendali jiwa muda anak muda.

Kerana itu Ayah dihormati. Kerana kebanyakan lelaki yang 'lebih banyak makan garam' acap kali meremehkan kehendak anak muda. Memperlekeh kesilapan yang tentunya sifat mana-mana anak muda.

Barangkali, orang lain tidak pernah muda. Atau, pura-pura tidak pernah muda kerana kononnya mahu memberi teladan yang baik tetapi hakikatnya, mereka terlalu ego untuk 'tunduk' kepada 'kuasa' anak muda.

Contohi Ayah. Beri ruang untuk anak muda dengan jalannya sendiri. Kesilapan? Itu pasti - seperti mati itu pasti, tetapi menutup ruang untuk anak muda hanya menjadikan harimau sebagai kucing Friskies.

Ayah bersama segelintir lagi pejuang seusianya, telah menunjukkan betapa jurang usia bukan halangan untuk bersama-sama anak muda mara ke depan. Mendepani kebenaran yang dipercayainya sungguh-sungguh.

Dan, bukan bermakna Ayah bersetuju sentiasa dengan gelagat Adam dan anak muda lain - walau tak pernah dizahirkannya, tetapi Ayah mengerti, menghadami makna jiwa muda.

Mengongkong bukan caranya. Melepaskan pula ada caranya.

Ayah sangat bergaya. Ayah menyempitkan jurang usia antara orang tua dan anak muda tanpa menggadaikan kebijakan dan kehormatan seorang yang fizikalnya dipanggil tua.

Hari ini, Ayah telah pergi. Pulang ke sisi-Nya. Tapi percayalah, Ayah tetap hidup di celah-celah jiwa pejuang muda yang benci akan kezaliman.

Sayangnya saya bukan perdana menteri. Jika punya jawatan itu, nescaya saya sendiri akan menaikkan bendera wajah Ayah di tengah-tengah khalayak banyak.


FAZALLAH PIT adalah bekas Editor Suara Keadilan

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda