Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sarang burung siak, hiasan eksotik di Rompin
Diterbitkan:  Apr 26, 2015 11:00 AM
Dikemaskini: 3:12 AM

Hidangan udang galah sememangnya sinonim dengan daerah Rompin, namun bagi penggemar dekorasi, sarang burung siak yang dijual oleh masyarakat Orang Asli di bahu jalan berhampiran Kampung Leban Chondong mampu menjadi hiasan eksotik di kediaman masing-masing.

    

Sarang berbentuk sama seperti sarang burung tempua atau labu sayong itu dihasilkan burung siak menggunakan tumbuhan-tumbuhan hutan dan daun padi di kawasan sawah berdekatan.

    

Menurut seorang penjual, Ani Angel, 49, sarang burung berkenaan diambil oleh anggota keluarganya dari dalam hutan sekitar daerah Rompin dan dijual dengan harga antara RM5 hingga RM10 mengikut saiz sarang burung berkenaan.

    

"Kami ambil sarang yang telah ditinggalkan burung siak sahaja untuk dijual kerana tidak mahu mengganggu burung itu," katanya ketika ditemui Bernama di Rompin hari ini.

    

Ani berkata pembeli juga mungkin bertuah menjumpai 'harta berharga' dari dalam sarang burung siak tersebut.

"Burung siak ini mengambil macam-macam tumbuhan, kadang-kadang menggunakan bulu burung yang telah mati untuk dibuat sarang, saya pernah dengar ada orang jumpa benang emas di dalam sarang burung ini," kata Orang Asli suku kaum Jakun itu.

    

Ani, yang turut menjual orkid hutan dan tumbuhan tanduk rusa, memperoleh pendapatan antara RM10 hingga RM30 sehari.

    

Sekembang Kempas, 50, yang menjual sarang burung berkenaan sejak dua tahun lepas hanya mengharapkan hasil hutan itu bagi membantu menyara keluarga.

    

"Kadang-kadang tiada langsung orang yang singgah untuk membeli," katanya yang turut menjaga empat cucunya berusia antara tujuh hingga dua tahun di gerainya.

    

Kembang berharap pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin pada 5 Mei ini dapat memberikannya lebih pendapatan dengan kunjungan petugas dan penyokong parti politik dari seluruh negara.             

    

Bagi Ani pula, dia mengharapkan PRK itu dapat memberikan peluang kepadanya untuk dipertimbangkan mendapat tawaran rumah kediaman dari kerajaan bagi keselesaan hidupnya.

    

-Bernama

Lihat Komen
ADS