Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tun Faisal: Dr M gagal jelaskan isu 1MDB
Diterbitkan:  Apr 26, 2015 9:00 PM
Dikemaskini: 1:03 PM

Seorang bekas anggota Exco Pemuda Umno hari ini berkata bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah gagal menjelaskan isu sebenar mengenai syarikat pelaburan nasional, 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

    

Ia termasuk hakikat bahawa 1MDB merupakan sebuah syarikat dengan liabiliti terhad dan kerugian syarikat itu tidak ditanggung oleh kerajaan melainkan bon yang dijamin oleh kerajaan.

    

Tun Faisal Ismail Aziz berkata bahawa Dr Mahathir tidak meyampaikan fakta bahawa hanya RM5.8 billion hutang 1MDB dijamin oleh kerajaan dan baki hutang yang lain dijamin oleh 1MDB, disandarkan kepada aset atau dijamin oleh rakan kongsi, iaitu, International Petroleum Investment Co PJSC (IPIC), sebuah syarikat pelaburan kerajaan Abu Dhabi.

    

Sedangkan Dr Mahathir dalam tulisan di blognya telah cuba memberi gambaran seolah-olah semua hutang 1MDB dijamin kerajaan dan jika 1MDB rugi, kerajaan akan menanggung akibatnya, kata beliau.

    

Dalam tulisan di blognya tun faisal dot com, beliau turut menjelaskan hakikat bahawa 1MDB telah membayar secara penuh hutang sebanyak RM2 bilion kepada Maybank dan RHB bank Berhad pada 13 Feb 2015, lebih awal dari tempoh berakhir pinjaman mengikut syarat yang ditetapkan dan baki sebanyak RM3.5 bilion telah ditukar kepada hutang jangka panjang berakhir pada Ogos 2024.

Penjelasan itu bagi menjawab dakwaan bahawa 1MDB gagal membayar hutang sebanyak RM5.5 bilion yang dipinjamkan oleh lima buah bank, iaitu Maybank (58.9 peratus), RHB (32.4 peratus), Alliance Investment Bank Bhd (4.06 peratus), Malaysia Building Society Bhd (3.24 peratus) dan Hwang DBS Investment Bhd (1.29 peratus).

    

Tun Faisal berkata ada blogger pro Dr Mahathir yang cuba menyamakan kegagalan membayar hutang kepada lima buah bank itu dengan kegagalan Renong-UEM (pada zaman Dr Mahathir) dan kegagalan sistemik sistem kewangan dan perbankan negara walaupun agensi penarafan Moody menafikan hutang 1MDB akan mengakibatkan kegagalan sistemik.

    

Beliau berkata Dr Mahathir dalam blognya juga mungkin terlepas pandang beberapa perkara seperti aset dan pelaburan 1MDB dalam industri tenaga termasuklah pemilikan 15 loji kuasa dan desalinasi di enam buah negara, Mesir, Bangladesh, UAE, Sri Lanka, Pakistan dan Malaysia dengan kapasiti penjanaan tenaga bersih 5,594 megawatt.

    

Syarikat IMDB juga, katanya terlibat dalam pembinaan tiga lagi loji kuasa baharu, iaitu Jimah East Power di Port Dickson, loji kuasa Gas di Melaka dan loji Solar di Kedah dan pembelian 310 ekar tanah di Pulau Indah untuk projek-projek yang berkaitan dengan tenaga.

    

-Bernama

Lihat Komen
ADS