Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Di usia melebihi satu abad, "Chu Il" mahu terus mengundi.

Dan dia mahu terus mengundi dengan mengenang jasa-jasa ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dipenjarakan.

"Saya suka Anwar kerana dia murah hati. Tak ada masjid, dia buat.

“Duit tak ada, dia bagi," kata Chu Il atau nama sebenarnya Ismail Md Aris.

Ismail, 102, antara pengundi paling tua di Permatang Pauh.

Beliau berkata semasa Anwar menjadi wakil rakyat kawasan tersebut, bekas ketua pembangkang pernah memberi sumbangan basikal kepadanya.

"Dia ada bagi basikal dulu," kata lelaki kepada lapan orang anak itu semasa ditemui pemberita di tapak pasar malam Kampung Mengkuang, Permatang Pauh.

Selain itu, Ismail yang menetap di Kampung Mengkuang selama 76 tahun sejak 1939 turut berharap PKR dapat mengekalkan kemenangan situ.

Sementara itu, seorang peniaga, Ayob Awang, berkata akan mengundi PKR sebagai tanda protes terhadap cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang mengundang keluhan ramai.

"Kita ini bukan orang senang sangat. Kalau boleh kekalkan (PKR) senang," katanya.

Ditanya adakah penduduk Permatang Pauh mahukan perubahan pembangunan di kawasan itu, Ayob berkata perkara tersebut bukan keutamaan.

Katanya, apa yang paling penting ialah kebajikan rakyat.

"Pembangunan ini bukan tak penting tapi yang paling penting kebajikan masyarakat," katanya.

Bagi Zainol Sirul, 68, pula, walaupun Pakatan kini dilanda pelbagai isu, sokongan mereka terhadap gabungan itu tidak berubah.

"Tidak akan berubah (sokongan terhadap Pakatan). Saya akan sokong PKR.

"Saya baca akhbar masalah (dalam Pakatan) dah selesai dah. Biarlah, apapun saya akan sokong Pakatan," katanya.

Sebelum itu, calon pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail turun padang di pasar malam Kampung Mengkuang.

Azizah yang mengenakan baju kebarung biru muda, sambil membawa kipas tangan bertemu dan beramah mesra dengan orang ramai di kawasan itu.

Malah, Azizah turut membeli beberapa barangan di pasar malam antaranya keledek.

Orang ramai turut mengambil kesempatan bergambar dan bersalam dengan Azizah atau dipanggil Kak Wan semasa kunjungannya itu.

Lihat Komen
ADS