Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, tidak timbul isu Pemuda PKR (AMK) Pulau Pinang memohon maaf kepada Pemuda PAS.

Kata calon pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh itu, isu berkenaan tidak perlu lagi dipersoalkan kerana ia dianggap sudah selesai.

"Tak timbul (isu mohon maaf). Dah selesai," katanya ringkas kepada media di Pusat Media PKR Permatang Pauh hari ini.

Pagi tadi, Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Mohd Yusni Md Piah berkata, walaupun pihaknya mengubah pendirian untuk membantu jentera Pakatan pada PRK kali ini, namun mereka masih mahu AMK memohon maaf atas kenyataan sebelum ini.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Hatta Ramli pula berkata, beliau berterima kasih kepada Pemuda PAS negeri kerana memeriahkan lagi kempen Pakatan pada pilihan raya kecil itu.

Malah, beliau juga berkata, tidak timbul soal sama ada akan dikenakan tindakan tatatertib memandangkan perkara itu telah diselesaikan.

"Pemuda PAS Pulau Pinang ambil keputusan untuk sertai (kempen) dengan sepenuh hati. Tak timbul soal tatatertib kerana yang penting nak kerja kuat.

“Terima kasih Pemuda PAS kerana membawa kempen yang lebih meriah," katanya.

Perkara sama turut dilahirkan oleh Pengarah Pilihan Raya PKR Datuk Saifuddin Nasution apabila beliau berterima kasih kepada Pemuda PAS Pulau Pinang kerana menamatkan "boikot" terhadap jentera pilihan raya.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada seluruh pimpinan PAS Pusat di atas usaha yang berterusan yang memungkinkan Pemuda PAS (Pulau Pinang) bersetuju menarik balik dan menamatkan boikot serta turun membantu," katanya.

Lihat Komen
ADS