Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah bas transit di Kilometer 25.9, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, berdekatan Gua Tempurung, dekat Ipoh, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Ng Kong Soon berkata mangsa Rosli Hamid, 55, maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan dipercayai akibat gagal memotong kenderaan lain di hadapannya, sebelum bertembung dengan sebuah bas dari arah bertentangan.

Dalam kejadian kira-kira 5.15 petang itu, pemandu bas berkenaan Azman Hamzah, 48, bersama 10 penumpang dan seorang konduktor yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh, tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mangsa yang menaiki kereta jenis Perodua Kancil difahamkan dalam perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur. Siasatan mendapati mangsa hilang kawalan lalu memasuki jalan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah bas.

"Akibat rempuhan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat telah dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat," kata Ng dalam kenyataan, hari ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS