Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Memasuki pusingan kedua kempen pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh, BN dan PKR kini dilihat lebih menggiatkan bentuk kempen mereka dengan menaikkan pelbagai papan iklan.

Sebelum ini, tinjauan Malaysiakini di sekitar Permatang Pauh mendapati bahan kempen termasuk papan iklan dari PKR yang mengkritik pelaksanaan Cukai Barangan dan perkhidmatan (GST) serta mengecam pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagi BN pula, mereka juga dilihat tidak melepaskan peluang dengan turut menaikkan papan tanda yang mengkritik pentadbiran kerajaan Pulau Pinang yang diketuai Lim Guan Eng.

Papan iklan yang baru kelihatan hari ini di Jalan Permatang Pauh itu, turut memaparkan karikatur mengkritik tindakan kerajaan negeri yang didakwa antaranya menaikkan cukai pintu, harga rumah dan air serta ketiadaan rumah kos rendah.

Malah, papan tanda itu turut tertulis slogan "bagi MIE peluang, undilah BN".

Di samping itu, BN turut meletakkan poster calonnya Suhaimi Subudin di kawasan sekitar Permatang Pauh, tetapi gambar Pengerusinya Datuk Seri Najib Razak masih lagi tidak kelihatan walaupun tempoh berkempen memasukk hari kesembilan.

Selain itu, turut ditemui kain rentang yang bertulis "Jentera PAS dilarang masuk. Tinggalkan pemikiran kolot. Baru boleh bersama kami".

Guan Eng jawab

Kain rentang itu juga diletakkan logo PKR dan DAP tanpa logo PAS. Ia kelihatan di bulatan berhampiran Dewan SP Arena Seberang Prai.

Bagaimanapun setakat ini belum dapat dipastikan pihak yang bertanggungjawab menggantung kain rentang itu.

Sementara itu, diminta mengulas papan iklan yang mengkritik kerajaan negeri, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, Pakatan tidak akan melayan perkara itu.

MP Bagan yang juga setiausaha agung DAP berkata isu berkaitan air melibatkan kerajaan Persekutuan dan bukan kerajaan negeri.

Ditanya sama ada Pakatan akan turut membina papan tanda bagi menjawab kritikan itu, Guan Eng berkata perkara itu tidak perlu kerana pihaknya akan menumpukan pada isu GST.

"Mereka (kerajaan Persekutuan) yang lakukan, kita yang kena. SPAN (Suruhanjaya Perbekalan Air Nasional) yang mencadangkan supaya menaikkan tarif air. 

"Saya rasa kita hanya nak tumpukan isu utama iaitu GST. Kalau kita nak layan mereka pun tengok pada kemampuan kita. Kita tak ada nak bagi makan, minum percuma," katanya kepada Malaysiakini .

SPAN merupakan satu badan yang dimiliki oleh kerajaan Persekutuan dan bukan kerajaan negeri.

Lihat Komen
ADS