Most Read
Most Commented
Read more like this

Tujuh makam adik-beradik yang dipercayai mempunyai nilai sejarah dan juga 'keramat' di Pulau Besar diruntuhkan oleh Majlis Agama Islam Melaka Ahad lalu. Tindakan memecahkan batu nisan putera raja yang didakwa keturunan India itu diambil kerana upacara khurafat di makam tersebut.

"Penduduk pulau yang kebanyakannya India Muslim telah memuja makam (keramat) itu," kata Setiausaha MAIM, Deris Daud kepada malaysiakini pagi ini.

Rombongan yang diketuai oleh Speaker Negeri Melaka, Datuk Amid Nordin bersama polis dan pegawai MAIM mendapati sembilan buah nisan telah diletakkan semula di makam tersebut.

Sebelum ini Majlis Fatwa Melaka memutuskan pada 1991 supaya tujuh makam itu digali dan mendapati sebuah kubur mempunyai rangka tulang manusia.

Makam itu telah dipindahkan ke tapak perkuburan yang berdekatan dengan sebuah makam terkenal Sultan Ariffin yang juga terletak di pinggir pantai pulau itu, kata Pegawai Penguatkuasa MAIM, Rahimin Bani.

"Rangka tulang yang telah dipindahkan itu telah diberi tanda nisan yang baru," kata Rahimin lagi, berhubung nisan yang tidak bernama itu.

Di makam itu, tambahnya, beliau menjumpa barang-barang yang sering digunakan untuk pemujaan seperti lilin, setanggi, colok dan kain kuning.

"Kita juga menjumpai tikar dan tasbih yang digunakan oleh pengunjung makam itu untuk memohon hajat," jelas Rahimin, menceritakan serbuan ke atas bekas makam tersebut hujung minggu lalu.

Rahimin menjelaskan rondaan telah dijalankan beberapa kali di kawasan bekas makam itu, namun pengunjung masih melakukan upacara pemujaan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Menurutnya, sejarah makam tujuh putera hanyalah lagenda penduduk pulau itu, jelasnya lagi yang pernah membaca catatan penduduk Pulau Besar yang mendakwa mendapat 'mimpi' berhubung kesucian makam itu.

Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka, Tan Sri Aziz Haji Tapa berkata kepada malaysiakini , pihak muzium tidak mempunyai sebarang catatan bertulis berhubung keramat tujuh beradik itu.

Bagaimanapun hasil kajian beliau, penduduk setempat mendakwa makam itu memiliki keramatnya. Satu sumber menyebutkan ia merupakan kubur tujuh perompak yang telah bergaduh sesama sendiri dan mati di situ.

"Motif ekonomi adalah punca pemujaan diteruskan," jelas Aziz berhubung kekerapan pengunjung ke situ.

Pulau terbesar di pantai Melaka itu adalah antara pusat pelancongan penting di negeri bersejarah itu.

Menurut sejarah, pulau itu menjadi 'petanda' kepada pelaut dan pedagang serta tempat persinggahan utama untuk mendapatkan air bersih dan bekalan kayu api.

Kini majoriti penduduknya adalah Melayu yang bekerja sebagai nelayan dan pekerja di pusat pelancongan pulau yang terkenal sebagai Wu-Shu oleh pedagang Cina pada masa lalu.

ADS