Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Razali: Harga rumah PGBF libat seluruh negara
Diterbitkan:  May 3, 2015 10:12 PM
Dikemaskini: 2:19 PM

Tawaran harga RM90,000 bagi skim jual beli seunit rumah di bawah projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) melibatkan keseluruhan 8,570 unit rumah projek itu di seluruh negara.

    

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata kesemua rumah di 33 kawasan Felda itu, termasuk di Parlimen Rompin itu telah hampir siap dibina dan dalam proses tender.

    

"Daripada jumlah itu, sebanyak 2,150 rumah akan siap dibina dan boleh diduduki oleh golongan generasi kedua Felda pada tahun ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah tapak projek PGBF Perantau Damai untuk peneroka Felda Keratong 8, 9 dan 10 dekat Muadzam Shah, hari ini.

    

Razali turut berkata bahawa keputusan untuk menurunan harga rumah itu dari RM125,000 seunit kepada RM90,000 seunit telah lama dibincangkan antara pihak berkepentingan termasuk Majlis Belia Felda Malaysia, dan bukannya disebabkan oleh Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin pada Selasa ini.

    

Katanya, perkara itu kemudian dibangkitkan lagi oleh golongan muda Felda termasuk oleh calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin sebelum kerajaan mengumumkan harga RM90,000 seunit bagi rumah berkenaan, semalam.

"Harga tersebut tidak termasuk kos prasarana seperti jalan raya, kos perunding dan insurans yang akan ditanggung oleh Felda...tidak salah Felda membantu dari segi kesemua kos berkenaan," katanya.

    

Razali bagaimanapun berkata kerajaan belum menimbang harga bagi baki 11,430 unit rumah PGBF yang dirancang dilaksana sejak 2013.

    

Kerajaan pada pembentangan Bajet 2013 mengumumkan pembinaan sebanyak 20,000 unit rumah PGBF yang akan dilaksana dalam tempoh lima tahun.

    

"Harga bagi baki rumah ini akan dibincangkan oleh pihak pengurusan Felda dan ia mungkin lebih rendah dan mungkin juga lebih tinggi bergantung pelbagai faktor," katanya.

    

Dalam pada itu, Razali berkata pemilihan pembeli rumah tersebut akan mengambil kira status perkahwinan, golongan muda yang tinggal di tanah rancangan Felda dan mampu untuk membayar pinjaman perumahan.

    

Kerajaan semalam menawarkan harga RM90,000 untuk pembelian rumah secara jual-beli kepada generasi baharu Felda di Parlimen Rompin, berbanding harga asal RM125,000 yang ditawarkan sebelum ini.

    

Perdana Menteri berkata bagi generasi baru yang tidak berkeupayaan mendapatkan pembiayaan untuk pembelian rumah berkenaan, kerajaan akan menyediakan skim sewa dan beli di mana mereka dapat menduduki rumah itu selama lima tahun secara sewaan dengan kadar munasabah.

    

-Bernama

Lihat Komen
ADS