Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
JDT melonjak ke tangga kedua Liga Super
Diterbitkan:  May 4, 2015 9:38 AM
Dikemaskini: 3:48 AM

Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) kembali meraih rentak kemenangan setelah mengalahkan wakil kelab, Felda United FC (FUFC) 1-0 dalam perlawanan tunggal Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Johor Bahru malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad 'Harimau Selatan' melonjak empat anak tangga untuk berada pada kedudukan kedua liga, berkongsi 18 mata bersama pendahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

PDRM bagaimanapun kekal mendahului carta Liga Super dengan kelebihan jaringan walaupun berkongsi mata dengan JDT.

Beraksi di hadapan lebih 25,000 penyokong, JDT nyata bersemangat untuk memburu gol awal dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu skuad 'The Fighters'.

Perancang tengah, Safiq Rahim hampir meletakkan JDT di hadapan namun percubaan beliau pada minit ke-16 berjaya diselamatkan penjaga gol pelawat, Mohd Farizal Harun.

Skuad 'Harimau Selatan terus menggandakan asakan dan hasilnya penyerang import dari Argentina, Patricio Julian Rodriguez membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-45.

Pengadil, Samsudin Ibrahim menghadiahkan sepakan penalti kepada JDT setelah Patricio dijatuhkan oleh pemain pertahanan FUFC, Shahrul Mohd Saad di dalam kotak penalti pasukan pelawat.

Keputusan 1-0 itu kekal sehingga berakhirnya babak pertama perlawanan.

Bersambung separuh masa kedua, FUFC mengubah corak perlawanan dengan melancarkan serangan ke kubu JDT dan mereka hampir berjaya menyamakan kedudukan namun percubaan pemain import dari Australia, Makeche Ndumba pada minit ke-74 hanya sedikit melewati tiang gol tuan rumah.

Kedua-dua pasukan terus berusaha untuk menembusi kubu lawan namun gagal menambah jaringan sehingga wisel penamat ditiup.

Berikut carta kedudukan pasukan bola sepak Liga Super malam tadi selepas perlawanan tunggal antara Johor Darul Ta'zim dan Felda United FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru, malam tadi.

       

                      P     M    S   K     J     B     MATA

PDRM            10    6    0    4    23   18     18

Johor DT        10    5    3    2    13     8     18

Selangor        10    5    2    3    20   12     17

Perak              9    5    2    2    17   11     17

Felda United   10    5    2    3    16   13     17

Pahang            9    5    2    2    12    8     17

Terengganu    10    4    2    4     17  19     14

Lions XII        10    3    4    3    13   16     13

Sarawak         10    3    3    4    13   14     12

Kelantan         10    3    1    6    10   16     10

ATM               10    2    3    5    11   16       9

Sime Darby     10    0    2    8     8     22      2

- Bernama

Lihat Komen
ADS