Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang pegawai khas perdana menteri membidas bekas pengarang kumpulan NSTP, Datuk A Kadir Jasin yang dianggapnya "seorang Melayu yang kurang arif adat" Melayu.

Ia susulan isu penajaan menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Datuk Seri Najib Tun Razak di Kazakhstan.

"Adalah menjadi adat apabila kita berkahwin, pengantin lelaki menanggung kos-kos perbelanjaan perkahwinan kedua-dua belah pihak.

"Sebagai contoh, dalam adat Melayu apabila wang hantaran diberikan, wang tersebut bertujuan untuk digunakan oleh keluarga pengantin perempuan untuk majlis kenduri.

"Tidak timbul soal PM menerima tajaan dari keluarga lelaki. Dalam hal ini, Nampaknya Kadir Jasin merupakan seorang Melayu yang kurang arif adat," kata Rizal Mansor dalam satu kenyataan.

 

Tambahan pula, kata Rizal lagi, tindakan keluarga Daniyar Kessibayev menanggung kos rombongan pengantin perempuan, menunjukkan mereka bertanggungjawab dan bersungguh-sungguh meraikan keluarga perempuan.  

"Dan sudah tentu jika kenduri di sebelah lelaki, pihak lelakilah yang menanggungnya," kata Rizal yang juga pembantu peribadi Rosmah.

Beliau mengulas tulisan Kadir yang mempersoal adakah elok bagi Najib menerima tajaan pihak luar untuk mengadakan majlis mewah yang undangannya dikeluarkan oleh beliau sendiri dan boleh menjadi mangsa peras ugut oleh pihak yang menajanya.

'Kutip fakta tepi jalan'

Mengulas lanjut, Rizal - yang sudah enam tahun berkhidmat dengan Najib - berkata tidak timbul soal ugut mengugut berhubung isu itu memandang kedua-dua belah pihak telah menjadi besan dan keluarga.

Sebaliknya, Rizal mengingatkan Kadir supaya tidak membuat "spekulasi jahat" yang menurut beliau seolah-olah mahu melihat timbulnya syak wasangka antara kedua mempelai.

"Perbuatan ini merupakan satu perbuatan jahat dan busuk hati, ia amat dibenci dan dikutuk dalam masyarakat Melayu.

"Kadir Jasin perlu lebih memahami adat Melayu dan jangan buruk sangka," katanya.

Rizal turut menyindir Kadir supaya lebih teliti dalam menulis dan "tidak mengutip fakta tepi jalan" kerana majlis bertandang itu berlangsung di Almaty dan bukannya Astana seperti yang ditulis dalam blognya.

"Ini adalah sesuatu yang memalukan memandangkan beliau seorang bekas wartawan kanan dan orang yang pernah mengetuai organisasi media.

"Kalau ini cara dia menulis saya boleh simpulkan selama ini fakta beliau semuanya dikutip tanpa asas,” kata Rizal lagi.

Lihat Komen
ADS