Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
LDP: Syarat 'BM' Ridhuan, ramai tak layak tanding
Diterbitkan:  May 4, 2015 7:17 PM
Dikemaskini: 11:24 AM

Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Teo Chee Kang mengkritik cadangan mensyaratkan bakal calon pilihan raya memiliki sekurang-kurangnya kepujian dalam Bahasa Melayu (BM) di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk layak bertanding.

Dalam kenyataan akhbar hari ini, Teo berkata cadangan tersebut akan mengakibatkan wujud ketidaksamaan di kalangan rakyat Malaysia.

"Jika kepujian BM dalam SPM dibuat keperluan undang-undang, maka separuh rakyat Malaysia akan hilang hak mereka untuk bertanding dalam pilihan raya umum," kata Teo. LDP - parti komponen BN - mempunyai tiga wakil di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata tanggungjawab tersebut terpulang kepada parti-parti politik mereka untuk mengenakan syarat-syarat ketat dalam pemilihan calon.

"Akhirnya, rakyat yang akan membuat memutuskan sama ada seseorang itu layak menjadi wakil rakyat mereka," katanya.

Cadangan dibuat oleh Ridhuan Tee

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan sedang memikirkan cadangan itu yang diutarakan oleh Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah dalam kolumnya di Sinar Harian.

Dalam kolumnya pada 27 April lalu, Ridhuan menulis tentang kelemahan penguasaan Bahasa Malaysia di Parlimen dan DUN.

"Kita tidak mahu perbahasan di Dewan atau Parlimen seperti pasar malam," tulis Ridhuan dalam kolumnya itu.

Mengulas lanjut Teo berkata Ridhuan gagal untuk menghargai hakikat bahawa bahasa Inggeris digunakan secara meluas di DUN Sabah dan Sarawak, mengikut Peraturan Tetap Mesyuarat masing-masing.

"Sebagai seorang mualaf, mengutarakan cadangan tersebut mencerminkan Ridhuan Tee sendiri seorang 'ultra kiasu', yang sentiasa dalam ketakutan bahawa dia tidak boleh diterima oleh masyarakat Islam," katanya.

[Baca berita penuh/asal]

Lihat Komen
ADS