Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Apakah sebenarnya perkiraan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu?

Selepas himpunan membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berakhir, Mohamad masih lagi berdiam diri untuk mempertahankan jawatan tersebut.

Sebelum ini, beliau memberi alasan untuk menumpukan perhatian pada demonstrasi anti-GST yang berlangsung 1 Mei.

Kini selepas empat hari, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, masih mempertimbangkan perkara sama.

Sedangkan beliau telah layak daripada segi pencalonan sejak dua bulan lalu, untuk mempertahankan jawatan yang dijawatnya sejak 2011.

"Saya nak fikir dahulu. Sekarang sibuk (kempen) pilihan raya kecil Permatang Pauh," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

"Akan ada kenyataan rasmi (daripada saya). Saya akan beritahu Malaysiakini ," katanya lagi .

Ketuai kempen Permatang Pauh

Beliau kini mengetuai jentera PAS dalam kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Hari ini, Jawatankuasa pemilihan mengumumkan bahawa Mohamad disahkan layak mempertahankan jawatan yang dipegangnya sejak dua penggal lalu.

Bekas tahanan ISA itu bakal berdepan saingan sengit tiga lagi pemimpin PAS iaitu dua Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Husam Musa serta Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Tambahan lagi, walaupun tidak jelas jumlah pencalonan sebenar setakat ini, Tuan Ibrahim dipercayai jauh mendahului di depan – bukan petanda baik untuk Mohamad sebagai penyandang.

Nasib Mohamad bakal ditentukan lebih 1,000 perwakilan yang bakal bermukim bermula 1 hingga 6 Jun depan di Kuala Selangor.

Tarikh akhir menghantar jawapan menerima atau menolak pencalonan ditetapkan pada 19 Mei ini sebelum jam 5 petang.

Lihat Komen
ADS