Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kecelakaan jalan raya melibatkan sebuah kumpulan pemilik kereta Perodua Myvi Sabtu lalu masih hangat diperkatakan oleh masyarakat Malaysia.

 

Kelab berkenaan, Familia Myvi Club (FMC) mengaku di media sosial bahawa anggotanya terlibat dalam kemalangan tersebut.

Kemalangan ngeri itu menyebabkan kematian pasangan muda dan seorang bayi.

Susulan pengakuan FMC tersebut, kelab berkenaan kini menjadi sasaran kemarahan orang ramai di media sosial.

Perbualan di medan maya mengenai isu ini mengingatkan saya kepada nasib yang menimpa sebuah kelab lumba kereta jalanan Jepun, Mid Night Club (Mid Night).

 

Kelab ini berpengaruh sehingga mencetus kegilaan di kalangan anak muda Jepun kepada perlumbaan haram dan juga fenomena kereta bikin.

Perkara ini boleh dikesan melalui produk budaya pop mereka, dari siri manga Initial-D hinggalah kepada permainan video Need for Speed .

Anggota Mid Night sering berkumpul untuk berlumba di lebuh raya Shouto antara bandar raya Tokyo dan Yokohama sejak awal penubuhan mereka pada 1987.

 

Menurut pemerhati industri permotoran pada masa itu, kelab ini menonjolkan sikap budiman kerana sentiasa cuba untuk menjaga keamanan dan keselamatan pengguna lebuh raya lain.

Berkubur kerana kemalangan

Menurut tulisan dalam majalah permotoran pada era itu, kelab ini juga akan menggunakan peninjau bagi memastikan keselamatan litar perlumbaan yang digunakan.

Ahli kelab ini amat merahsiakan identiti mereka namun mereka diketahui memiliki jentera yang dimodifikasi sehingga mampu mencapai kelajuan 320 kilometer sejam, menurut tulisan terbabit.

 

Kegiatan perlumbaan haram yang dijalankan kelab ini antara lainnya direkodkan oleh dua orang wartawan automotif, Jeremy Clarkson dan Andy Wilman.

Mereka memerhatikan bahawa kelab ini amat menitik beratkan keselamatan sehingga hampir tiada insiden kemalangan sama ada sesama sendiri mahupun kepada orang ramai.

Selain itu, kegiatan Mid Night juga didokumentasi oleh lebih 200 majalah dan rancangan TV termasuk dari Eropah dan Amerika Syarikat.

 

Wilman ketika menjadi penulis untuk Later , sebuah majalah gaya hidup di United Kingdom, merakamkan nasib kumpulan ini apabila ia berkubur pada pada awal 2000.

 

Menurutnya, rekod cemerlang Mid Night berubah pada akhir 1999 apabila satu kemalangan antara ahli kelab tersebut dan kumpulan motosikal Bokozoku (mat rempit Jepun) menyebabkan dua ahli kelab motosikal itu meninggal dunia.

Mid Night kemudiannya membuat satu kenyataan media sejurus selepas kejadian dan mengumumkan bahawa kelab tersebut dibubarkan buat “selama-lamanya”.

Kelab itu bertegas bahawa polisi mereka adalah untuk “tidak menyebabkan kemalangan dan kecederaan kepada orang awam dan jika ianya berlaku, maka kelab ini akan dibubarkan terus dan selama-lamanya,” lapor Wilman.

Jentera berprestasi tinggi

 

Jelas sekali, piawai yang ditetapkan Mid Night tidak setara dengan FMC.

Untuk menjadi ahli Mid Night, seseorang itu bukan sahaja perlu mahir memandu laju, tetapi harus memiliki kenderaan berprestasi tinggi.

Kereta yang diterima untuk perlumbaan ahli kelab tersebut ialah jentera yang sememangnya teruji di litar perlumbaan seperti Porsche 911 Turbo, Nissan Skyline GT-R, Toyota Supra dan Mazda RX-7.

Kecelakaan yang berlaku dalam perlumbaan terakhir anjuran Mid Night itu kerana diganggu kumpulan mat rempit Bokozoku.

Sepanjang 12 tahun operasi kumpulan itu, tiada sebarang kemalangan melibatkan kematian berlaku, apatah lagi dengan undang-undang trafik Jepun yang jauh lebih tegas dari negara ini.

 

Dan sikap kebertanggungjawaban itulah yang membezakan Mid Night dengan FMC dan kelab kereta lain di Malaysia.

 

Mungkin kerana itulah kelab Mid Night masih lagi diingati sebagai satu legenda oleh pencinta kereta dan FMC kini dikeji dan dihina oleh orang ramai.


RADZI RAZAK anggota redaksi Malaysiakini.

 

Lihat Komen
ADS