Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PDRM mahu Azmin mohon maaf secara terbuka
Diterbitkan:  May 6, 2015 12:42 PM
Dikemaskini: 6:02 AM

Selepas mengingatkan mengenai dosa dan tata susila Persatuan Pegawai Kanan Polis mendesak Menteri Besar Selangor Azmin Ali memohon maaf secara terbuka kepada pasukan itu kerana "mencaci dan menyelar Ketua Polis Negara".

Dalam kenyataan dikeluarkan persatuan itu, pengerusinya Datuk Shah Gzali Khan Shahadad berkata kenyataan Azmin itu turut terkena kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kata Shah Gzali, PDRM adalah pasukan keselamatan yang menjalankan tanggungjawab terhadap rakyat tanpa berkiblat kepada mana-mana fahaman politik, bangsa atau agama.

"Sebagai menteri besar yang berpendidikan dan berjawatan tinggi, tidak wajar Azmin menggunakan kata-kata sebegitu jelek dan kesat terhadap sesama manusia.

"Tidak seharusnya ceramah politik digunakan untuk tujuan menghasut dan menghina, apatah lagi sebagai satu platform untuk membangkitkan masyarakat terhadap polis," katanya.

Kelmarin dalam ceramahnya Azmin bertanya kepada hadirin jika majlis itu turut dihadiri anggota cawangan khas (SB) polis.

Apabila hadirin menjawab ada, Azmin berkata: "Saya tak takut.

Beritahu ketua polis negara, tolonglah, nak jadi ketua polis yang menjaga keselamatan rakyat atau nak jadi barua Umno dan BN?"

Kenyataan itu disambut sorakan kira-kira 200 hadirin.

Shah Gzali berkata, seluruh warga PDRM berharap Azmin lebih berhemah dan bersopan dalam ceramahnya kerana "bahasa melambangkan bangsa".

"PDRM tidak pernah mencampuri urusan politik dan tidak sesekali berkiblatkan mana-mana parti. Ia jelas dengan perkhidmatan profesional dan kerjasama erat diberikan di negeri diperintah pembangkang," katanya.

Lihat Komen
ADS