Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Memasuki hari terakhir berkempen, berlaku kekecohan antara kumpulan yang mengaku diri mereka sebagai "proulama" dengan penduduk Kampung Kubang Semang, Permatang Pauh.

Kira-kira jam 5 petang, kumpulan yang diketuai Ketua Penerangan PAS Bagan Azmi Jaafar bersama kira-kira 10 lagi pengikutnya berkumpul di simpang tiga berhampiran stesen Petron Kampung Kubang Semang.

Kumpulan itu membawa sepanduk yang bertulis "Hudud hukum Allah" dan "Pemuda bersama kepimpinan ulama".

Bagaimanapun, tidak sampai seminit, dua lelaki yang berada di kedai makan di seberang jalan simpang tiga itu menghampiri kumpulan tersebut dan menghalau mereka.

Kemudian seorang lelaki menjerit ke arah kumpulan itu dengan berkata: "Jangan buat kacau di kampung kami. Hangpa (kamu) semua bukan pengundi di kawasan ini.”

Selepas itu, berlaku tolak-menolak apabila lelaki tersebut cuba untuk merampas sepanduk kumpulan terbabit.

Keadaan bertambah kecoh apabila sekumpulan penduduk kampung yang berada di kedai makan di seberang jalan turut mengerumuni kumpulan tersebut dan menghalau mereka.

Salah seorang lelaki tersebut kemudian mengambil pembesar suara daripada Azmi sebelum menghempaskannya ke jalan raya.

Azmi kemudian meminta kumpulannya berundur dan pergi ke tempat lain selepas melihat penduduk kampung semakin berang dengan kehadiran mereka.

Dakwaan sabotaj

Selepas kira-kira 10 minit, Azmi bersama kumpulannya kemudian beredar daripada kawasan tersebut.

Selepas itu, ketika ditemui pemberita, bekas setiausaha agung PAS Permatang Pauh, Abdul Razak Abdullah yang turut berada di tempat kejadian memberitahu, mereka menghalau kumpulan terbabit bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini.

Abdul Razak mendakwa, kumpulan tersebut bukan pengundi di Permatang Pauh dan sengaja datang ke kampung Kubang Semang untuk membuat "kacau" di kawasan kubu kuat Pakatan itu.

'Mereka bukan orang sini, mereka orang Bagan. Mereka tak mengundi di sini. Saja datang nak sabotaj (PRK Permatang Pauh).

"Ini (Kubang Semang) kubu PAS, kubu Pakatan. Tak perlu nak buat di sini," katanya.

'Jangan undi parti tolak hudud'

Sementara itu, dalam kenyataan media yang diberikan kepada pemberita, Azmi berkata tujuan himpunan pada hari ini untuk mengajak seluruh pengundi Permatang Pauh tidak mengundi parti yang menolak hudud.

"Kami mengajak seluruh pengundi P44 agar tidak memberi undi kepada penentang hudud. Kami berpendirian bahawa penentang hudud adalah penentang Allah seperti wasiat almarhum Datuk Fadzil Noor, mantan presiden PAS pada 1994," kata kenyataan itu.

Sebelum ini, kumpulan sama mengadakan perhimpunan di hadapan Masjid Batu, Kampung Pertama bagi mendesak PKR memohon maaf berhubung kenyataan AMK berkaitan hudud.

Penduduk halau demo diketuai Ketua Penerangan PAS Bagan Azmi Jaafar di Permatang Pauh.Foto Zulaikha Zulkifli.Baca lanjut: http://www.malaysiakini.com/news/297436

Posted by Malaysiakini (BM Version) on Wednesday, 6 May 2015

Lihat Komen
ADS