Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Bezakan sentuhan OK atau tak OK'
Diterbitkan:  May 7, 2015 7:41 AM
Dikemaskini: May 7, 2015 2:34 AM

Kanak-kanak perlu didedahkan dengan kemahiran melindungi diri daripada gangguan seksual termasuk diajar membezakan cara sentuhan dalam berdepan ancaman pedofilia di sekeliling mereka, kata Konsultan Program Pusat Kesedaran Wanita (WCC) Dr Prema Devaraj.

Beliau berkata sebanyak 187 kes penderaan dilapor di Pulau Pinang tahun lepas dengan 32 peratus atau 60 kes daripadanya melibatkan penderaan seksual.

Daripada jumlah itu, sebanyak 60 peratus kes salah laku seksual dilakukan individu yang dikenali kanak-kanak.

Justeru itu, katanya adalah penting untuk kanak-kanak memahami antara sentuhan selamat (OK) atau bersifat gangguan (Tak OK) supaya mereka lebih proaktif dalam menjaga keselamatan diri.

"Penderaan seksual biasanya bermula dengan sentuhan. Ia mungkin bermula dengan sentuhan biasa sebelum menjadi serius," katanya selepas pelancaran kit Bijak Itu Selamat (BIS) edisi ketiga anjuran WCC dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Pulau Pinang di George Town semalam.

Beliau berkata BIS ialah pakej pendidikan  dikemas kini yang mengandungi manual Mengajar Kanak-kanak Langkah Keselamatan; Video OK Tak OK; dua buku kartun bertajuk Nina dan Rahsianya serta Suara Kecil Saya.

Dr Prema berkata dalam Video OK Tak OK, penonton akan didedahkan dengan adapatasi kisah sebenar kes salah laku seksual dan cara yang boleh digunakan mangsa untuk mendapatkan bantuan serta langkah orang dewasa untuk menyelamatkan mereka.

Sejak pakej itu diperkenalkan WCC pada 2001, ia memberi manfaat kepada 15,000 murid di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Perak dan edisi dikemas kini itu mempunyai elemen interaktif seperti permainan kad Roda Tindakan bagi meningkatkan kefahaman pengguna, katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Dr Sharifah Bee Aboo Bakar berkata guru memainkan peranan penting dalam memperkasa dan mendidik kanak-kanak mengenai perlunya menghormati privasi dan hak orang lain.

Beliau berkata tidak ramai guru yang cukup bersedia apabila berdepan dengan situasi sebenar kes itu.

Oleh itu, katanya guru perlua sentiasa peka memerhatikan sebarang perubahan dan tingkah laku anak murid untuk mengesan sebarang kejadian tidak diingini pada peringkat awal.

"Bagi setiap 500 murid, hanya seorang guru kaunseling ditugaskan di setiap sekolah... kerana itu, setiap pendidik seharusnya mempersiapkan diri dengan pengetahuan supaya mereka sentiasa bersedia memberi khidmat sokongan kepada mereka yang memerlukan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS