Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Beri kami peluang lakar sejarah baru di P Pauh'

Calon BN, Suhaimi Sabudin tiba di SMK Guar Perahu pada kira-kira jami 8.15 pagi dan masuk mengundi sejurus kemudiannya.

Ketika ditemui pemberita selepas itu, beliau berharap semua penyokong BN akan keluar mengundi.

Beliau berharap jentera pilihan raya BN akan memujuk semua pengundi mereka pergi ke pusat pengundian mengikut masa yang ditetapkan.

"Kami akan cipta sejarah baru di Permatang Pauh," katanya.

Suhaimi, 44, bersama ibunya Che Jan Ahmad, 70, mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Perahu.

Menurut Suhaimi berkata situasi hari ini sangat berbeza kerana beliau mengundi sebagai calon berbanding sebelum ini sebagai pengundi biasa.

"Berbeza sikit kali ini, sebab saya mengundi diri sendiri. Saya memohon restu daripada semua untuk memberi peluang kepada saya melakar sejarah baru di Permatang Pauh," katanya.

Dr Wan Azizah pula mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti pada jam 8.40 pagi.

Calon Parti Rakyat Malaysia, Azman Shah Othman dan Salleh Isahak (Bebas) tidak mengundi.

Ditanya sama ada beliau kini boleh berehat selepas 12 hari berkempen, Suhaimi berkata, beliau tidak akan berehat sehingga keputusan diumumkan malam ini.

Sementara itu, Bernama melaporkan 24 pusat mengundi dengan 130 saluran untuk PRK Parlimen Permatang dibuka mulai 8 pagi ini. Pusat mengundi itu akan ditutup pada 5 petang.

Proses pengundian awal membabitkan 627 pengundi telah diadakan pada Ahad lepas di dua saluran iaitu di Dewan Gemilang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) dan di berek kelamin Balai Polis Kubang Semang.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata SPR menjangkakan jumlah yang akan mengundi mencapai 80 peratus daripada 71,890 orang yang layak mengundi di kawasan itu.

"SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi kali ini menurun kepada 80 peratus daripada 88.50 peratus pada pilihan raya umum ke-13 pada Mei, 2013," katanya.

Beliau berkata keputusan PRK Parlimen Permatang Pauh dijangka diketahui seawal 9 malam.

Proses pengiraan undi PRK ini akan dilakukan di tempat mengundi dan bukan di pusat penjumlahan rasmi undi, sebaik sahaja proses pengundian tamat pada 5 petang ini.

Hari ini merupakan cuti peristiwa di Pulau Pinang dan dijangka lebih ramai pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka.

Lihat Komen
ADS