Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Majalah berpengaruh Indonesia Tempo diberitahu supaya merujuk dengan Pejabat Kedutaan Malaysia terlebih dahulu sebelum menyiarkan berita berkaitan kekayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Wartawannya, Natalia Santi berkata ia disampaikan oleh Duta Besar Malaysia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dalam satu pertemuan semalam.

Zahrain juga meminta Tempo supaya tidak membuat berita sekadar mendengar ‘khabar angin’ demi menjaga hubungan baik kedua negara.

“Dia cuma minta agar Tempo tidak membuat berita sekadar khabar angin.

“Kata Zahrain lagi, tugasnya di Indonesia adalah untuk menjaga hubungan baik kedua belah negara dan juga hubungan baik dengan Tempo.

“Sekiranya ada berita-berita seperti ini di masa depan, pak duta bilang, tanyalah saya (tanya Zahrain terlebih dahulu) bagi mendapat kepastian,” kata Natalia ketika dihubungi Malaysiakini.

Pihak kedutaan mengadakan pertemuan dengan Tempo ekoran tersiarnya rencana mengenai dakwaan gaya hidup mewah Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor bulan lalu.

Rencana bertajuk “Hidup mewah sang perdana menteri” antara lainnya memetik laporan The New York Times, yang menyebut mengenai minat Rosmah pada beg tangan mewah dan barang kemas.

Selain itu, laporan tersebut juga membangkitkan mengenai bayaran RM1,200 untuk dandanan rambut Rosmah.

Tidak ketinggalan ialahisu harta yang diraih anak tiri Najib, Riza Aziz, yang membeli apartmen mewah di New York dan rumah mewah di Beverly Hills.

Bagaimanapun, Pengarang kanannya Purwanto Setiadi mempertahankan laporannya dengan berkata “mereka memilih sumber berita secermat mungkin dan percaya dengan sumber yang digunakan”.

Sementara itu, Natalia berkata dalam pertemuan selama dua jam itu, Zahrain turut menyatakan bahawa media di Malaysia ‘terlalu bebas’ sehinggakan boleh mengkritik pemerintah dan pemimpin.

“Media di Malaysia terlalu bebas, sehingga boleh kritik pemerintah dan pemimpin seperti portal Malaysiakini dan The Malaysia Insider .

“(Portal itu didakwa) tulis berita bukan fakta sehingga kini tidak ada kajian pengadilan, jadi Zahrain minta rujuknya terlebih dahulu sebelum siar berita,” kata Natalia.

 
 

Lihat Komen
ADS