Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Masa yang diperuntukkan ialah satu jam dan beliau sepatutnya menghabiskan tempoh itu untuk bersama anak muda yang menyokong PAS.

Bagaimanapun Nik Abduh Nik Abdul Aziz hanya menghabiskan masa selama kira-kira dua minit sebelum bergegas meninggalkan majlis atas alasan perlu menghadiri mesyuarat parti di Kuala Lumpur.

Tinjauan mendapati, ketika itu hanya ada kira-kira 20 orang pengunjung mendengar kata-kata diucapkan Nik Abduh ( gambar ).

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat PAS diatur untuk mengisi slot In Person with YB Nik Abduh dengan tajuk Nostalgia Sang Murabbi.

Difahamkan, beliau sepatutnya bercerita pengalamannya bersama bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ia adalah sebahagian daripada program Himpunan Anak Muda Selangor (HAMAS) yang diadakan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Subang Jaya di Serdang Jaya.

Nampak keindahan

Program itu diadakan menjelang muktamar tahunan parti itu di Kuala Selangor bulan depan.

Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dicalonkan bertanding merebut jawatan ketua pemuda daripada penyandang, Suhaizan Kaiat.

Dalam ucapan singkat itu Nik Abduh mengenang semula peristiwa ketika bapanya meningal dunia pada 12 Februari lalu.

Kata Nik Abduh, dia melihat "keindahan" dalam detik menyedikan itu kerana bapanya meninggal dunia secara husnul khatimah (dalam keadaan baik).

“Allah tunjuk kepada kita dia (Nik Aziz) benar, apabila hari terakhir dia, Allah tunjuk kepada kita inilah orang yang dilihat husnul khatimah , mati dalam indah. Dia dilihat husnul khatimah , dia hamba yang diredhai.

“Allah buktikan dia mati dalam berjuang, Allah tunjuk melalui tarik jiwa yang ramai (ke pusara Nik Aziz) , ramai orang pergi (ziarah). Allah heret Perdana Menteri, orang bukan Islam pergi ke kubur, sesuatu yang orang lihat itu perancangan Allah bukan manusia,” katanya.

HAMAS kali ini dihadiri kira-kira 100 orang - termasuk anggota Unit Amal - dan diisi pelbagai slot seperti gusti lengan, nyanyian anak muda, futsal dan lain-lain lagi.

Lihat Komen
ADS